AKSI Derby London antara Chelsea dan Tottenham Hotspurs yang berkesudahan 2-2 berlangsung panas di luar padang apabila kedua-dua jurulatih bertegang urat ketika pertemuan di Stamford Bridge pada Ahad malam.

Jaringan pertama Kalidou Koulibaly pada minit ke-19 menyebabkan Tuchel meraikan kejayaan dengan cara yang agak kurang disenangi Conte sedikit sebanyak telah memicu api kemarahan antara kedua-dua pengendali itu.

Segala-galanya bermula pada minit ke-67 apabila bola terkena penyerang The Lilywhites, Son Heung Min namun pengadil meneruskan perlawanan dan hasilnya Pierre-Emile Hojbjerg bijak meledak untuk memberi gol penyamaan 1-1 kepada Tottenham.

Situasi tersebut mengundang ketidakpuasan hati antara pengendali kedua-dua pasukan iaitu Antonio Conte dan Thomas Tuchel apabila mereka saling bertikam lidah dalam perlawanan tersebut kerana tidak setuju dengan keputusan pengadil perlawanan.

Namun, ianya kembali reda setelah Chelsea kembali di hadapan menerusi Recce James pada minit ke-77. Situasi tenang itu tidak bertahan lama apabila Hotspurs berjaya mengikat The Blues setelah Harry Kane memperoleh gol pada minit ke-96.

Keadaan kembali menjadi tegang setelah Antonio Conte tidak melakukan ‘eye contact’ kepada Tuchel sewaktu bersalaman setelah wisel penamat dibunyikan. Pertelagahan itu telah memaksa pengadil untuk melayangkan kad merah kepada kedua-dua pengendali sejurus selepas tamat perlawanan.

Tuchel dan Conte bertikam lidah.

“Saya rasa sepatutnya kita berjabat tangan dan melihat ke mata, tetapi sebaliknya pula berlaku. Saya akui ia tidak sepatutnya berlaku tetapi kadangkala situasi tersebut boleh menyebabkan kita di luar kawalan.

“Kita tidak menghina sesiapa, kita tidak memukul sesiapa. Kita berlawan untuk pasukan kita. Saya hairan mengapa kita dilayangkan kad merah atas insiden tersebut,” jelas Thomas Tuchel.

Sementara itu, Conte enggan mengulas panjang mengenai insiden memalukan antara dia dan Tuchel.

“Kalau ada apa-apa masalah, ia antara saya dengan dia. Selepas ini, saya akan lebih berhati-hati. Berjabat tangan dan saya duduk di tempat saya, dia duduk di tempat dia,” ujar Antonio Conte.

Keputusan tersebut menyaksikan Chelsea gagal meneruskan kecemerlangan beraksi di Stamford Bridge apabila tewas buat kali kedua di laman sendiri kepada The Lilywhites manakala Hotspurs melakar sejarah memperoleh kemenangan kedua di gelanggang keramat The Blues, Stamford Bridge.