PEMAIN pertahanan Harimau Malaya, Dion Cools mahu memastikan dia dan rakan-rakan sepasukan fokus kepada aksi masing-masing dan tidak terlalu memikirkan tentang ranking pasukan China apabila kedua-dua pasukan bertemu dalam perlawanan persahabatan antarabangsa di Stadium Phoenix Hill, Chengdu pada Sabtu.

Dia juga gembira dengan corak permainan yang ditampilkan skuad kebangsaan ketika bangkit mengikat Syria 2-2 meskipun ketinggalan 0-2 pada babak pertama namun dia kini fokus pada perlawanan menentang pasukan di ranking ke-80 dunia itu.

“Selepas aksi yang baik dengan Syria, perlawanan menentang China adalah penting dan kami berjaya melakukan ‘recovery’ dengan baik dan semua pemain sudah bersedia dan akan mencuba padang di stadium untuk menyesuaikan diri dan kami yakin dengan perlawanan esok.

 

“Sememangnya kami perlu menghormati ranking China. Kami tidak berapa tahu tentang pemain mereka tetapi kami sudah membuat analisis terhadap corak permainan mereka tetapi kami hanya fokus pada perlawanan serta cara kami bermain dan ini yang paling penting,” katanya dalam sidang media pra perlawanan.

Cools berjaya mempamerkan aksi yang cukup baik ketika menentang Syria dengan pertukaran taktikal pada babak kedua menyaksikan dia lebih banyak bermain di bahagian sayap dan membuka ruang buat pemain penyerang untuk menjaringkan gol.

Dua gol masing-masing dari Akhyar Rashid dan Darren Lok menyaksikan Malaysia mempamer kebangkitan cemerlang selepas ketinggalan 0-2 pada babak pertama yang menyaksikan penguasaan penuh Harimau Malaya pada babak kedua.

Kemenangan keatas China pada Sabtu akan memberikan tambahan mata sebanyak 6.927 mata dalam ranking dunia yang mampu melonjakkan skuad kebangsaan ke ranking 133 dunia.