COPA America yang dijadualkan berlangsung di Amerika Syarikat dari 20 Jun hingga 14 Julai ini, akan menyaksikan pengadil menggunakan kad merah jambu bersama kad kuning dan merah tradisional.

Dalam langkah untuk meningkatkan keselamatan pemain, Konfederasi Bola Sepak Amerika Selatan (CONMEBOL) telah mewajibkan penggunaan kad merah jambu untuk kejohanan benua akan datang.

Langkah inovatif ini bertujuan untuk menangani isu serius kecederaan kepala dan concussion dalam bola sepak dengan menyediakan protokol yang jelas untuk penggantian itu.

Kad merah jambu menandakan keperluan untuk pemain diganti kerana disyaki mengalami gegaran otak atau kecederaan kepala.

Peraturan baharu ini telah diluluskan sebelum kejohanan sebagai sebahagian daripada usaha berterusan CONMEBOL untuk mengutamakan kesihatan dan keselamatan pemain.

Ia membolehkan pemain gantian keenam diperkenalkan dalam perlawanan jika pemain disyaki mengalami gegaran otak.

Menurut CONMEBOL, proses itu memerlukan jurulatih pasukan untuk memaklumkan pengadil utama atau pegawai keempat, yang kemudiannya akan menunjukkan kad merah jambu untuk menunjukkan penggantian.

Selain itu, pasukan lawan juga akan diberikan pengganti tambahan untuk mengekalkan keadilan dalam permainan.

Ini bermakna kedua-dua pasukan berpotensi mendapat manfaat daripada penggantian tambahan jika pemain mengalami kecederaan kepala.

Argentina merupakan juara bertahan Copa America. (Sumber Gambar: Getty Images)

Sebaik sahaja pemain digantikan di bawah peraturan kad merah jambu, mereka tidak dibenarkan kembali ke padang permainan.

Pemain yang terjejas akan dibawa ke bilik persalinan atau bilik kemudahan perubatan untuk penilaian dan penjagaan lanjut.

Ini memastikan bahawa pemain menerima rawatan perubatan yang sewajarnya dan mengelakkan risiko yang berkaitan dengan kembali bermain lebih awal.

Doktor pasukan kemudiannya mesti melengkapkan dan menyerahkan laporan terperinci kepada suruhanjaya perubatan CONMEBOL dalam masa 24 jam, menggariskan penemuan penilaian gegaran, tidak kira sama ada pemain itu telah digantikan atau tidak.

Pengenalan kad merah jambu itu susulan kelulusan Lembaga Persatuan Bola Sepak Antarabangsa (IFAB) bagi penggantian kekal untuk gegaran otak awal tahun ini.

Walaupun undang-undang baharu ini berkuat kuasa secara rasmi mulai 1 Julai, ia membenarkan penganjur melaksanakannya lebih awal daripada jadual.