BINTANG Brazil, Vinicius Jr melepaskan tenaga dalamannya dalam masa lebih kurang 45 minit untuk menunjukkan bola sepak Brazil yang tulen bagi membimbing juara Piala Dunia lima kali itu memenangi perlawanan Copa America 2024 pertama mereka menentang Paraguay awal pagi tadi.
Pemain sayap berusia 23 tahun itu menjaringkan dua gol dan memberikan persembahan yang amat diperlukan dan yang telah lama ditunggu oleh peminat Brazil.
Bintang Real Madrid yang sedang meningkat naik itu mungkin antara pemain terbaik dunia tetapi sehingga kini ‘percikan api’ itu masih belum kelihatan dalam persembahan pasukan kebangsaannya.
Malah pada aksi pembukaan Copa America Brazil tahun ini seri tanpa jaringan menentang Costa Rica, Vinicius akhirnya digantikan pada separuh masa kedua selepas tidak melakukan satu percubaan untuk menjaringkan gol.
Selepas itu, pengurus Brazil Dorival Jr menukar taktik dan keputusan itu membayar balik dengan cara yang besar.
Daripada ditempatkan sebagai pemain sayap yang melebar di sebelah kiri menentang Costa Rica, Dorival memberi Vinicius kebebasan untuk melintasi barisan hadapan pada perlawanan pagi tadi menentang Paraguay dan peminat ditunjukkan mengapa dia adalah pesaing kuat untuk memenangi Ballon d’Or pada tahun ini selepas membimbing Real ke kejuaraan berganda (Liga Juara-Juara dan LaLiga).
Selepas perlawanan pembukaan yang mengecewakan, Brazil pada mulanya bergelut menentang pertahanan lawan dan hampir hilang ketenangan apabila Lucas Paqueta gagal menyempurnakan sepakan penalti pada separuh masa pertama.
Tetapi sebaliknya, mereka diselamatkan oleh Vinicius, yang mengambil alih permainan dan berada di seluruh padang, menjaringkan dua kali dan mencipta satu lagi peluang yang membolehkan Savinho menjaringkan gol, membantu Brazil memasuki masa rehat dengan kedudukan selesa 3-0.
Itu lebih daripada cukup untuk Brazil yang bermain di bawah tekanan besar dengan harapan 215 juta rakan senegara di bahu mereka.
“Hari ini saya bermain permainan yang serasi dengan tahap pemain saya,” kata Vinicius kepada pemberita.
“Saya selalu mengatakan bahawa saya tidak pernah bermain untuk diri sendiri, saya bermain untuk pasukan, untuk Brazil, untuk negara saya. Saya sentiasa cuba melakukan perkara yang terbaik, tetapi ia tidak selalu mungkin.
“Hari ini saya bermain perlawanan yang hebat, saya tahu boleh meningkat banyak dan akan lakukan untuk membantu Brazil. Kami mahu meletakkan Brazil di tempat yang sepatutnya,” katanya.