PERTAHANAN skuad kebangsaan, Corbin Ong mahu dia dan rakan sepasukannya meneruskan aksi cemerlang ketika menang ke atas Republik Kyrgyz apabila berhadapan Chinese Taipei dalam perlawanan kedua Kumpulan D, Kelayakan Bersama Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 pada Selasa.
Sebagai pertahanan, sudah semestinya dia mahu mendapatkan ‘clean sheet’ dan tiga mata penuh namun dia sedar cabaran yang bakal dihadirkan Chinese Taipei apabila beraksi di laman lawan.
“Kami akan menghadapi satu lagi perlawanan besar dan kami perlu mengekalkan persembahan terbaik pada perlawanan terakhir bagi mendapatkan tiga mata penuh sekali lagi untuk mengekalkan momentum dan kami semua sudah bersedia.
“Semua pemain tahu yang kita mempunyai kualiti dan jika tidak mendapat tiga mata penuh, ianya satu kerugian kerana kami tahu kami mampu untuk memperolehinya.
“Bukan mahu mengatakan Chinese Taipei pasukan yang kurang baik tetapi kita hadir dengan pasukan yang lebih baik untuk membawa pulang tiga mata,” katanya ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur.
Pemain warisan Malaysia – Barbados itu juga berharap dapat mengekalkan ‘clean sheet‘ dan dia tidak kisah jika sesiapa pun yang dipilih sebagai pemain kerana apa yang penting adalah kemenangan buat Harimau Malaya.
“Clean sheet sentiasa dianggap sebagai bonus. Kami mahu bermain permainan kami dan mahu menjaringkan gol serta mengelak dari dibolosi tetapi dalam bola sepak apa-apa juga boleh berlaku tetapi misi kami adalah menjaringkan seberapa banyak gol dan mengelak dari dibolosi.
“Persaingan antara saya dan Daniel Ting dalam pasukan sangat baik kerana kami memastikan kami sentiasa berada pada tahap terbaik untuk membawa Malaysia ke tahap yang lain dan perkara ini cukup bagus untuk pasukan.
Skuad Malaysia terbang ke Taipei untuk berhadapan Chinese Taipei pada Selasa dalam aksi kedua Kumpulan D dan tiga mata akan menjamin laluan yang lebih cerah ke pusingan ketiga kelayakan Piala Dunia 2026 dan peringkat kumpulan Piala Asia 2027.