KEJOHANAN Corporate Super Rugby (CSR) 2024 telah tiba di kemuncaknya dengan menyaksikan dua pasukan gergasi bakal beraksi di pentas akhir CSR .

Bank Muamalat Bullets tampaknya ingin mempertahankan kejuaraan yang dimenangi pada musim sulung kejohanan iaitu tahun 2022 dimana ketika itu dipanggil sebagai Kejohanan Corporate Premier Rugby.

Mereka berjaya mematahkan cabaran pasukan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Blackhawks dengan keputusan 38-12 di pusingan separuh akhir pertama.

Pertembungan akhir CSR 2024 bakal diadakan di UM Arena, Universiti Malaya pada 2 Mac.

Jurulatih pasukan Bullets, Mazuri Sallehudin menyatakan bahawa dirinya yakin terhadap barisan anak buah yang bersedia mempertahankan kejuaraan berdasarkan prestasi cemerlang sepanjang musim.

“Pasukan kami beraksi dengan baik sehingga perlawanan separuh akhir setakat ini, tapi kita tidak harus leka dan membuat kesilapan mudah yang akan dimanfaatkan pasukan lawan,” katanya.

Dalam masa yang sama, pasukan Persatuan Perkhidmatan Tadbir dan Diplomatik (PPTD) Patriots pula bakal beraksi di saingan ‘Championship Match’ buat kali pertama setelah mengejutkan pasukan finalis musim lalu, Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) Royal Town Warriors, dengan keputusan 16- 15 dalam saingan separuh akhir kedua.

Pengendali pasukan Bullets dan Patriots bersaing di perlawanan akhir CSR 2024.

Pengurus pasukan PPTD Patriots, Anwarrul Aswad beranggapan pasukannya tidak berdepan dengan sebarang tekanan menjelang aksi akhir nanti.

“Pada saya, tekanan bukan ke atas pasukan kami. Kami beraksi dengan baik pada perlawanan separuh akhir dan apa yang kami harus lakukan adalah meneruskan momentum tersebut,” ujarnya.

Perlawanan akhir CSR 2024 dijadualkan bakal berlangsung di UM Arena, Universiti Malaya pada 2 Mac depan dan menyaksikan pertembungan antara pasukan Bullets dan Patriots dalam perlawanan ‘Championship Match’ pada jam 8.45 malam.

Pra-perlawanan pula bakal berlangsung pada jam 4.00 petang menerusi perlawanan pingat gangsa antara TUDM Blackhawks menentang MBDK Royal Town Warriors.