SAINGAN peringkat kumpulan kejohanan Corporate Super Rugby (CSR) tiba di kemuncak dengan berlangsungnya perlawanan minggu ketiga, menyaksikan empat pasukan mengesahkan penyertaan di pusingan ‘Wildcard’.

Dalam aksi kumpulan A, PPTD Patriots menempah tiket ke pusingan Wildcard dengan kemenangan 57-0 ke atas TNB Rugby. Sementara itu, TUDM Blackhawks turut mara ke pusingan seterusnya walaupun dibenam Bank Muamalat Bullets 57-12.

Sementara itu, Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) Red Panthera dan Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) Knights turut melakar kejayaan layak ke pusingan kalah mati dalam penampilan sulung walaupun menerima nasib berbeza dalam perlawanan minggu ketiga.

MBJB Red Panthera mengalahkan Pride Green 38-5, manakala MBSJ Knights tewas 70-18 kepada Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) Royal Town Warriors sekali gus mengesahkan kedudukan tempat kedua dan ketiga dalam kumpulan.

Pengurus pasukan MBJB Red Panthera, Mohd Faizal Hassan menyifatkan status sebagai pasukan ‘underdog’ telah memberikan kelebihan buat pasukan daripada selatan tanah air itu.

“Sasaran kita adalah sentiasa untuk menjadi lebih baik daripada perlawanan sebelumnya.

“Dengan kelayakan ke pusingan seterusnya, kita harapkan agar para pemain dapat terus yakin dengan menggunakan pengalaman yang telah kita peroleh sepanjang kejohanan ini,” katanya.

Pemenang kedua-dua kumpulan, Bank Muamalat Bullets dan MBDK Royal Town Warriors mendapat sedikit kelebihan setelah menerima ‘bye’ ke pusingan separuh akhir. Perlawanan pusingan ‘Wildcard bakal menemukan MBJB Red Panthera dan TUDM Blackhawks, manakala PPTD Patriots bertemu MBSJ Knights bagi menempah dua lagi slot ke perlawanan separuh akhir.

Semua perlawanan CSR berlangsung di Padang Ragbi Universiti Teknologi MARA (UITM).

Jadual Pusingan Wildcard (17 Feb 2024)

MBJB Red Panthera lwn TUDM Blackhawks (2.45ptg)
PPTD Patriots lwn MBSJ Knights (4.30ptg)