CRISTIANO Ronaldo terus mempamerkan bisa di sebalik kemenangan 3-2 Al Nassr ke atas Al Shabab dalam perlawanan Liga Arab Saudi. CR7 meraikan gol dengan sujud syukur sebagai tanda terima kasih.

Perlawanan Al Nassr dan Al Shabab berlangsung di Stadium KSU, awal pagi Rabu dengan pelawat mendahului dua gol sebelum rehat menerusi jaringan Cristian Guanca.

Namun, pasukan tuan rumah cuba mengurangkan ketinggalan menerusi jaringan Talisca sebelum tamat separuh masa pertama. Al Nassr menyamakan kedudukan pada awal separuh masa kedua menerusi Abdulrahman Ghareb.

Kelab jolokan Knights of Najd itu mendahului pada minit ke-59 dengan Cristiano Ronaldo yang menjaringkan gol !

Ronaldo melepaskan sepakan deras berhampiran kotak penalti Al Shabab. Gol penggempur asal Portugal itu memastikan pemenang untuk Al Nassr 3-2.

Ada sesuatu yang menarik mengenai sambutan gol Ronaldo. Dia meraikan gol di tepi padang yang dikelilingi oleh rakan sepasukannya.

Dalam kerumunan pemain Al Nassr, Ronaldo tiba-tiba membongkok dan meletakkan tangan dan kepalanya di atas tanah. Pemenang lima kali Ballon d’Or tunduk tanda kesyukuran dengan tepukan daripada rakan sepasukannya.

Video sambutan sujud syukur Ronaldo menjadi viral di media sosial. Ramai yang gembira dengan sambutan gol gaya Muslim yang ditunjukkan oleh CR7 di bumi Arab Saudi.

“Ronaldo tunduk selepas menjaringkan gol,” tweet akaun pangkalan peminat Ronaldo, @EverythinCR7_.

“Ronaldo sujud Masya Allah,” tulis seorang lagi peminat di Twitter.

Cristiano Ronaldo kini telah mengumpul 14 gol daripada 15 perlawanan dalam Liga Arab Saudi. Al Nassr masih terperangkap di tangga kedua dengan 63 mata, tiga mata di belakang Al Ittihad.