PERTEMUAN Croatia menentang Brazil sepatutnya berlaku di final, demikian menurut Jurulatih Croatia, Zlatko Dalic.

Beliau menyifatkan pertemuan menentang juara lima kali, Brazil pada suku akhir Piala Dunia, malam ini sebagai pertembungan klasikdan menegaskan skuad bimbingannya sudah bersedia melakar kemenangan pertama ke atas pasukan pilihan itu.

Membandingkan pertemuan final menentang Perancis empat tahun lalu, yang menyaksikan Croatia tewas 2-4, Dalic berkata, kegagalan untuk menang ke atas Brazil dalam empat pertemuan sebelum ini tidak memberi sebarang kesan kepada mereka.

“Saya percaya perlawanan ini akan menjadi perlawanan yang paling mencabar.

“Lawan yang hebat dan cabaran yang hebat untuk kami. Kami sudah mengharungi 11 perlawanan dalam dua edisi Piala Dunia dan hanya tewas sekali. Saya mengharapkan perlawanan ini berlangsung kemudian (di final), tetapi ini adalah lumrah kehidupan.

“Croatia sebuah negara kecil dan menikmati kejayaan dalam dua Piala Dunia. Kami berjaya mencapai tahap ini, tetapi kami bercita-cita tinggi dan tidak mahu kekal di sini,” katanya pada sidang media.

Zlatco Dalic bersama pemain paling senior dalam skuad Piala Dunia Croatia, Luca Modric.

Menurut Dalic, Brazil adalah antara pasukan paling mengujakan untuk ditonton di Qatar, manakala Croatia dengan 18 pemain baharu dalam skuad itu sejak 2018, masih belum membuktikan kemampuan sebenar.

Hanya segelintir pemain veteran daripada kempen terakhir mereka disenaraikan kali ini, diketuai kapten berusia 37 tahun, Luka Modric.

“Ada 18 pemain baharu yang tidak berada dalam skuad Piala Dunia (2018). Kami memerlukan masa untuk berkembang dan matang. Kejayaan kami menjadi antara lapan pasukan terbaik adalah luar biasa,” kata Dalic.- REUTERS