PEMAIN skuasy remaja wanita negara mempamerkan aksi yang layak menerima pujian ketika merangkul kejuaaraan ke-10, Kejohanan Skuasy Berpasukan Remaja Asia di Chennai, India pada Ahad.
Penolong jurulatih Andrew Cross berkata, prestasi ditunjukkan semua pemain amat memberangsangkan terutamanya pemain utama, Aira Azman yang bangkit dari kekalahan pada separuh akhir, ketika berdepan India.
“Secara keseluruhan, pemain wanita kita cemerlang, mereka tahu mereka hanya boleh menjadi pasukan yang menang atau kalah.
“Sememangnya saya gembira dengan prestasi mereka terutamanya Whitney dan Doyce di kejohanan ini, kita masih ada masa depan yang cerah,” kata Andrew.
Pada separuh akhir menentang India, Aira yang menghuni ranking ke-65 dunia tewas kepada Anahat Singh dalam pertarungan empat set, namun Whitney Isabelle pemain ketiga negara yang turun pada perlawanan kedua, mencipta kebangkitan apabila mengejutkan Yuvna Gupta dengan kemenangan 3-2 sebelum Yasshmita Jadiskumar memastikan kemaraan skuad wanita negara ke final, dengan kemenangan 3-1 ke atas Pooja Arthi, bagi menempah pertemuan dengan Hong Kong di final semalam.
Pada aksi final semalam, Aira menyumbang mata pertama dengan permainan kemas mengatasi Wai Sze Wing 3-0, sebelum Yasshmita mengesahkan kejuaraan dengan kemenangan 3-2 ke atas Tse Yee Lam Toby.