KETUA Jurulatih skuad bawah (B-17) wanita kebangsaan, Petronella Douny menyuarakan kebimbangannya terhadap keadaan cuaca panas di Buriram, Thailand yang dilihat mampu menjejaskan aksi pasukan bimbingannya.

Ini kerana majoriti pemainnya beraksi dengan memakai tudung namun Petronella enggan menjadikan keadaan cuaca sebagai alasan sebaliknya mahu mereka kekal fokus menjelang perlawanan pertama pada Jumaat menentang Kepulauan Mariana Utara.

Seterusnya skuad Malayan Tigress yang diundi dalam Kumpulan A Kelayakan Piala Asia B-17 itu akan menentang tuan rumah, Thailand pada Ahad di Stadium Buriram City, Buriram bagi melengkapkan aksi peringkat kumpulan selepas Indonesia menarik diri.

“Saya rasa sedikit menyukarkan kerana cuaca di sini sangat panas. Walaupun cuaca di sini hampir sama di Malaysia tetapi bila sudah tiba di sini kami dapat rasai perbezaan. Memang ada rasa sedikit risau dengan keadaan cuaca panas ini terutamanya kepada pemain kami yang bertudung, tetapi saya tidak mahu jadikan perkara itu sebagai alasan dan kami akan teruskan dengan perancangan kami,” katanya dalam sidang media pra kelayakan.

Dalam perkembangan yang sama, Petronella menyatakan anak-anak buahnya sudah bersedia untuk menghadapi kejohanan ini selepas menjalani kem latihan pusat selama 18 hari dan turut menegaskan bahawa pasukannya hadir untuk memberikan saingan dan bukan sekadar menjadi pelengkap jadual.

“Kami ada 18 hari untuk membuat persiapan, jadi kami juga sudah bersedia. Kesemua pemain sangat teruja dan bagi saya kami sudah bersedia untuk memberikan saingan sengit untuk kejohanan ini,” tambahnya.

Juara setiap kumpulan akan layak ke pusingan kedua kelayakan Piala Asia Wanita B-17 yang dijadual akan berlangsung dari 16 hingga 21 September 2023 dan kini Malaysia berhadapan tugas berat selepas Thailand berjaya mencatatkan kemenangan pertama menewaskan Kepulauan Mariana Utara 11-0 dalam aksi pembukaan pada Rabu.