PENGENDALI Selangor FC, Tan Cheng Hoe tidak mahu menjadikan cuaca panas dan rekod lampau yang baik ke atas Sri Pahang sebagai alasan untuk anak-anak buahnya tidak beraksi cemerlang apabila berkunjung ke Stadium Darul Makmur untuk aksi Liga Super pada Sabtu.
Ini adalah pertemuan ketiga kedua-dua pasukan musim ini selepas dua aksi sebelum menyaksikan Selangor diikat 1-1 di Kelana Jaya sebelum mencatat kemenangan 4-0 dalam aksi Piala FA di venue yang sama.
Cheng Hoe juga turut mengakui bahawa mereka akan berhadapan dengan tugas yang sukar kerana Sri Pahang bakal menurunkan dua pemain import baharu selain mereka mempunyai rekod yang baik ketika beraksi di laman sendiri.
“Kita tidak boleh guna alasan cuaca panas kerana kita sudah biasa berlatih pada sebelah petang. Sudah pasti ini satu cabaran untuk bertandang ke Kuantan dengan Pahang tambah dua import baharu.
“Sri Pahang juga kebal di sana dan beraksi dengan baik. Kita akui tidak boleh ambil mudah perlawanan ini dan dua perlawanan sebelum ini tidak boleh jadikan ukuran untuk kami menang.
“Kita mesti kerja keras serta fokus dan apa yang penting adalah keserasian pemain dan kerjasama di dalam padang,” katanya ketika menjawab soalan FLASH SUKAN.
Bekas pengendali kebangsaan itu juga berharap pasukannya akan menggunakan dua perlawanan kompetitif lebih dari Sri Pahang sebagai kelebihan untuk beraksi dengan lebih yakin untuk mengekakkan keciciran mata.
“Saya rasa kami ada momentum perlawanan kompetitif yang lebih baik berbanding Sri Pahang dan harap dua perlawanan itu beri kami keyakinan untuk lawan mereka,” jelasnya.
Aksi bertemu Sri Pahang ini juga turut menjadi tumpuan para penyokong bola sepak tempatan apabila Selangor mungkin akan menurunkan pemain import terbaharu mereka, Richmond Boakye namun Cheng Hoe tidak mahu tergesa-gesa untuk meletakkannya dalam kesebelasan utama.
“Kami akan lihat keadaan dirinya sama ada sudah bersedia atau tidak kerana bukan mudah hendak sesuaikan diri dalam 10 hari dan jika dia dapat diturunkan ianya sangat baik buat pasukan,” tambahnya.