KEJUARAAN Malaysian Cub Prix yang berlangsung di Litar Antarabangsa Sepang (Utara) berakhir pada petang Ahad.
Saingan perlumbaan CP150 menyaksikan pelumba Petronas Sprinta Yamaha-CKJ Racing, Ahmad Afif Amran mengesahkan kemenangan bagi Pusingan 3 musim ini.
Dalam sesi Super-Pole, pelumba Petronas Sprinta Yamaha-CKJ Racing, Md Akid Aziz mencatatkan masa terpantas 1’18:484s sekali gus mengambil kedudukan grid pertama perlumbaan akhir. Grip kedua milik Afif yang mencatat masa terpantas 1’18:656s diikuti Kasma Daniel Kasmayudin (Petronas Sprinta Yamaha Maju Motor) dengan catatan masa 1’18:663s di petak ketiga.
Memasuki pusingan terakhir, Afif berjaya memintas Md Fareez Afeez Abd Rahman dari pasukan Jetron Yamaha YYPang Racing Team serta Kasma kemudian terus meningkatkan kelajuan dan menyaksikannya memenangi perlumbaan dengan catatan masa 14’35:397s.
“Permulaan yang tidak mudah hari ini sebab kesihatan saya kurang mengizinkan pada pagi ini, saya mengalami pening kepala yang teruk. Sehingga selepas sesi Super Pole saya terus tidur sampai setengah jam sebelum perlumbaan baru saya bangun.
“Saya cuma target untuk menghabiskan perlumbaan sebab sekurangnya ada kutipan mata tetapi Alhamdulillah rezeki saya podium nombor satu di sini, strategi saya pun menjadi pada last lap. Tidak lupa juga pasukan yang bekerja keras menyelidik motor saya dari semasa ke semasa, dan hari ini dapat membuahkan hasil yang baik,” katanya.
Fareez mengambil tempat kedua dengan catatan masa 14’35:465s manakala tempat ketiga milik Kasma dengan catatan masa 14’35:620s.