PUSINGAN 1 Kejuaraan Petronas MAM Malaysian Cub Prix yang berlangsung di Litar Jasin, Melaka berakhir pada Ahad.
Saingan perlumbaan akhir CP150 menyaksikan kejayaan pelumba Petronas Sprinta Yamaha – CKJ Racing, Md Akid Aziz yang mengatasi cabaran litar basah dengan mudah sekali gus meraih kemenangan pertama bagi musim ini dengan catatan 17:17.228 saat.
“Dengan keputusan hari ini, saya dapat kekalkan momentum dari tahun lepas. Saya tidak menjangka dapat menang pada hari ini kerana saya hanya sasarkan kedudukan lima ke atas.
“Lebih-lebih lagi, dengan litar basah dimana kesilapan agak senang berlaku. Walau bagaimanapun, saya agak gembira dengan pencapaian hari ini. Untuk perlumbaan akan datang nanti, saya dan pasukan saya akan terus membuat penambahbaikan untuk keputusan yang konsisten,” katanya.
Azroy mengambil tempat kedua dengan catatan masa 17:20.733s manakala tempat ketiga milik Afif dengan catatan masa 17:21.083s.
Sementara itu, kategori CP125 menyaksikan kejutan dilakar pelumba Honda KC Racing, Md Irfan Haykal Amidi yang muncul pemenang selepas memintas Juara Keseluruhan musim lalu, Md Khairi Asyraf Mahmood dari Jetron Yamaha YYPang Racing Team pada perlumbaan akhir.
Khairi akur di tempat kedua dengan catatan masa 13:58.755s manakala pelumba, pelumba Petronas Sprinta Yamaha – 31 Racing, Md Syamil Amsyar Md Iffende menamatkan kedudukan ketiga.
Kategori Wira KBS turut menyajikan aksi yang cukup mendebarkan dengan tumpuan pada Md Akif Abdullah yang berjaya mengesahkan gelaran di perlumbaan akhir sekali gus menghadirkan kemenangan kedua buat pasukannya, Honda KC Racing.
Akif mengekalkan momentum sehingga ke garisan penamat dan memenangi perlumbaan dengan catatan masa 11:26.101s.
Naib juara milik pelumba Yamaha Estremo 27 Racing, Md Adib Arsyad Md Hisam (11:26.333s) manakala Farres Putra Md Fadhil dari Petronas Sprinta Yamaha – 31 Racing (11:26.648s) tempat ketiga.
ARTIKEL BERKAITAN : Cub Prix 2024 : Akid catat masa terpantas di Jasin