PUSINGAN kelima Kejuaraan Petronas Malaysian Cub Prix yang berlangsung di Litar Antarabangsa Sepang berakhir pada petang Ahad, menyaksikan kategori CP150 telah dimenangi oleh jaguh Petronas Sprinta Yamaha, CKJ Racing, Md Akid Aziz.

Menurut Akid, dia sendiri teruja akan prestasinya yang cukup membanggakan pada Ahad, apabila dapat meninggalkan pelumba-pelumba lain dengan jarak yang cukup jauh.

Setelah ketinggalan pada mulanya, kemahiran luar biasa pada Akid menyaksikannya berada pada hampir lapan saat di hadapan pelumba Honda Estremo Yuzy Racing (HEYR), Azroy Hakeem Anuar yang duduki P2. Di belakangnya menyaksikan aksi sengit dengan tujuh pelumba merebut kedudukan P3.

“Saya rasa ini adalah pelarasan terbaik untuk saya setakat ini dan untuk pusingan ini. Enjin saya juga berada dalam keadaan cukup baik. Cuma saya tidak sangka dalam perlumbaan saya dapat menjarakkan jurang begitu jauh.

Akid duduki tempat pertama dalam pusingan kelima Malaysian Cub Prix 2024.

“Jika ikutkan saya tidak pernah lagi merasa meninggalkan kumpulan sejauh itu. Saya juga tidak tahu situasi di belakang saya, apa yang terjadi. Apapun saya bersyukur dapat menang dengan jarak yang menakjubkan ini,” ujar Akid selepas perlumbaan tamat pada Ahad.

Permulaan perlumbaan akhir tadi, Akid dan Afif dengan pantas mengambil kedudukan hadapan diikuti oleh Azroy. Memasuki pusingan ke-3, sementara Akid konsisten di P1, Shahrol Syazras Shahrol Yuzy juga dari HEYR yang berada di P2 diekori rapat oleh Nazirul Izzat Md Bahauddin dari Petronas Sprinta Yamaha Maju Motor.

Untuk rekod, Akid berjaya memenangi perlumbaan dengan catatan masa hanya 13’55:159s, disusuli dengan Azroy yang menduduki tempat kedua dengan catatan masa 14’03:852s. Di tempat ketiga adalah Syazras, dengan catatan masa selama 14’04:498s.