PASUKAN Brothers7 Tech Racing bakal menghangatkan pentas Kejuaraan Petronas Cub Prix Malaysia 2024 dengan satu semangat baharu apabila mempunyai penambahan kelas CP125 dalam pasukannya.

Pada kejuaraan musim lalu, Brothers7 Tech Racing hanya mempertaruhkan pelumba di kategori Wira KBS dimana pencapaian terbaik ketika itu menerusi Luthfi Shah, yang berjaya mencatat masa ketiga terpantas iaitu 55’207s.

Pengurus pasukan, Azizul Mohd Zar mengakui bahawa dirinya enggan meletakkan sebarang sasaran terhadap perlumbaan kategori CP125 yang disertai kerana sedar akan tahap cabaran dan kompetitif dalam kelas tersebut.

Azizul Mohd Zar mengulas lanjut mengenai pasukan kendaliannya.

Bagaimanapun, beliau hanya berharap agar dua pelumba yang bakal menyertai kategori CP125 itu berjaya memberi saingan yang sepatutnya dan menimba ilmu sebanyak yang mungkin ketika hari perlawanan.

“Kelas 125 bukan satu kategori perlumbaan yang kita harus pandang enteng. Saya tahu tahap kesukaran dan saingan yang kompetitif dalam perlumbaan inijadi saya tidaklah meletakkan sasaran tinggi terhadap pelumba kami.

“Saya hanya target untuk pelumba di kelas Wira KBS untuk sekurang-kurangnya berada di kelompok lima teratas, jika podium, itu adalah bonus.

Tiga wajah pelumba muda Brothers7 Tech Racing bagi Kejuaraan Cub Prix 2024.

“Walaupun pelumba-pelumba kami muda, (lingkungan 17-18 tahun), saya tetap yakin dengan kebolehan mereka bertiga. Mereka telah menenuhi kriteria yang kita mahukan,” ujarnya kepada FLASH SUKAN ketika ditemui pada Majlis Pengumuman Pelumba Pasukan.

Tiga pelumba yang mewakili pasukan Brothers7 Tech Racing di pentas Cub Prix yang akan bermula pada 2 Mac adalah Muhammad Luthfi Shah, Muhd Danish Hakimi (Kelas CP125) dan
Muhd Aiman Hafiz (Kelas Wira KBS).