PELUMBA CKJ Racing Team, Md Akid Aziz berjaya memberi kemenangan pada pusingan kedua Kejuaraan MAM Malaysian Cub Prix 2024 yang telah berakhir pada petang Ahad.
Saingan hangat yang berlangsung di Kompleks Sukan Permotoran Tangkak itu telah menyaksikan Akid tampil sebagai juara kategori CP150 untuk perlumbaan kedua musim 2024.
Walaupun di sesi “Super-Pole” sebelum itu, Akid gagal mencatatkan masa sekali gus mengambil kedudukan kesepuluh di grid untuk sesi perlumbaan akhir, namun kebangkitan berjaya dilakukan oleh pelumba muda CKJ Racing ini.
Tidak terus berputus ada setelah tampil kurang baik pada perlumbaan awal, Akid tetap menunjukkan peningkatan positif apabila dia berjaya meletakkan dirinya dalam kelompok teratas carta dan mula memberi tekanan kepada pelumba-pelumba lain.
Akid sempat berkongsi bahawa dirinya berasa seperti dalam pengembaraan dalam saingan akhir perlumbaan itu walaupun pada permulannya dia sempat bergelut untuk mendapatkan rentak perlumbaan.
“Penyelarasan jentera kali ini memang agak sukar, tetapi saya tidak berputus asa, saya tetap teruskan perlumbaan, paling genting adalah semasa awal perlumbaan di mana saya bergelut untuk memahami jentera dahulu.
“Sebenarnya untuk perlumbaan tadi kita juga menggunakan ‘setup‘ baru, saya berdepan masalah brek dan klac, jadi berlumba tadi jentera saya bermasalah di bedua-dua belah kiri dan kanan, memang seperti pengembaraan lah perlumbaan saya kali ini,” ujar Akid.
Akid berjaya mengakhiri perlumbaan CP150 dengan catatan masa terpantas hanya selama 14’36:350s. Naib juara pula telah diduduki oleh Kasma Daniel Kasmayudin dengan rekod masa 14’36:995s serta disusuli dengan Nazirul Izzat Md Bahauddin, 14’38:155s.