MESKIPUN hadir dengan gelaran juara keseluruhan kategori CP125, Md Shafiq Rasol, pelumba dari ONEXOX TKKR Racing Team masih bergelut untuk menonjol dalam kategori baru, CP150, yang disertainya sejak 2023.
Shafiq mengakui bahawa peralihan ke kategori CP150 merupakan satu cabaran besar. Walaupun memiliki pengalaman dan kejayaan dalam kategori CP125, dia mendapati bahawa persaingan dalam CP150 jauh lebih sengit.
“Ya, saya masih bergelut dalam CP150 ini. Bagi saya, kategori CP150 bukan mudah untuk bersaing dengan pelumba-pelumba yang lebih berpengalaman. Berbanding dengan CP125, masih ada banyak perkara yang perlu saya perbaiki dan kuasai dengan baik,” katanya.
Nasib Shafiq dalam musim ini juga kurang menyebelahi apabila dia gagal mengumpul sebarang mata dalam tiga pusingan yang lalu. Pusingan ketiga terutama sekali menjadi titik kekecewaan apabila dirinya terpaksa menamatkan perlumbaan dengan keputusan DNF (Did Not Finish).
Namun begitu, Shafiq tidak berputus asa dan terus berusaha untuk mencapai keputusan yang lebih baik dalam pusingan seterusnya di Teluk Intan. Walaupun mengakui bahawa trek di Teluk Intan agak mencabar dengan selekoh U-turn dan laluan lurus yang panjang, Shafiq tetap optimis.
“Bagi saya, trek di Teluk Intan agak teknikal dengan adanya selekoh U-turn dan laluan lurus yang agak panjang. Apapun, target saya untuk Pusingan 4 pada minggu ini adalah untuk duduk di kelompok 10 terbaik dan jika boleh menaiki podium, itu adalah bonus bagi saya dan pasukan.”
Shafiq juga berkongsi perancangannya untuk pusingan akan datang.
“Saya perlu fokus dan cepat serasi dengan keadaan litar dan motor saya pada hari pertama sesi latihan dan sesi kelayakan nanti untuk mendapatkan petak di baris depan bagi perlumbaan final,” ujarnya.
Dengan semangat yang tidak mudah luntur dan tekad yang tinggi, Shafiq berharap dapat mengubah nasibnya di Teluk Intan dan kembali ke landasan kejayaan.