SEMANGAT dan harapan tinggi menyelubungi pelumba PETRONAS Sprinta Yamaha Maju Motor, Syafiq Rosli menjelang Pusingan 4 Kejuaraan PETRONAS MAM Malaysian Cub Prix di Teluk Intan, Perak.
Ini kerana Syafiq bakal berlumba di negeri kelahirannya yang mana ini adalah tahun pertama dia beraksi dalam kategori CP150 dan dia mempunyai matlamat yang jelas untuk menunjukkan prestasi terbaik di pentas yang semakin mencabar.
“Persiapan saya untuk Pusingan 4 ini sama seperti sebelumnya, di mana konsistensi dalam latihan adalah kunci utama. Saya terus menjalankan rutin latihan yang telah terbukti memberi hasil positif dalam meningkatkan kecekapan dan ketahanan.
“Setakat ini, segalanya berjalan lancar dalam persiapan saya namun saya menyedari bahawa perlu lebih banyak latihan untuk bersiap sedia menghadapi saingan yang semakin sengit.” katanya.
Syafiq juga tidak dapat menyembunyikan keghairahannya untuk berlumba di Perak dan dia mahu meletakkan podium sebagai sasaran dengan mengharapkan tuah di bumi kelahirannya.
“Saya cukup suka dengan persaingan di CP150 kerana terdapat lebih daripada 20 pelumba yang sangat berpengalaman dan berpotensi tinggi yang akan menjadi ujian sebenar bagi saya untuk membuktikan nilai saya di kalangan mereka yang hebat.
“Perlumbaan di Teluk Intan memberi saya semangat tambahan. Saya berasa teruja dan bertekad untuk memberikan yang terbaik buat kali ini. Fokus saya sepenuhnya terhadap perlumbaan ini dan saya akan memastikan untuk memberikan persembahan terbaik kepada semua penyokong.
“Sasaran saya adalah untuk berada di atas podium dan saya berharap berlumba di tempat lahir saya mendatangkan tuah untuk mencatat kemenangan pertama saya dalam kategori ini. Saya yakin dengan usaha keras dan berserah kepada Allah, segalanya mungkin terjadi.” jelasnya.
Selepas berakhir tiga pusingan, Syafiq kini ditangga ke-16 dari keseluruhan 24 pelumba dengan tujuh mata hasil pencapaian tempat ketujuh di Litar Tangkak selepas dia gagal menamatkan dua lagi perlumbaan.