PELUMBA CP150, Tengku Amirul Haffirudin membuat keputusan mengejutkan dengan menamatkan kerjasama selama 12 tahun bersama Jetron Yamaha YYPang Racing Team dan berpindah ke pasukan SCK Honda Racing Team pada musim 2024.
Keputusan ini bukanlah sesuatu yang diputuskan secara terburu-buru, tetapi telah dipertimbangkan secara menyeluruh sejak dua tahun lalu, termasuklah untuk kembali mencapai kecemerlangan.
Tengku Amirul menunjukkan kesedihan semasa majlis perpisahan dengan pasukan Jetron Yamaha YYPang Racing Team, yang menunjukkan betapa sukarnya keputusan itu baginya.
Bagaimanapun, demi kemajuan dan matlamat masing-masing, perpisahan itu tidak dapat dielakkan.
“Saya berasa sangat berat hati untuk meninggalkan pasukan YYPang kerana banyak kenangan suka dan duka bersama mereka. Sifu juga adalah mentor yang banyak memberikan saya tunjuk ajar sejak saya menyertai Cub Prix buat kali pertama.
“Dia jugalah yang paling banyak mengorbankan masanya untuk saya. Contohnya menjemput saya di perhentian bas jam 5 pagi,” katanya.
Tengku Amirul meningkat naik dalam dunia perlumbaan apabila dinobatkan sebagai juara keseluruhan CP115 pada tahun 2018 sebelum dipromosikan untuk menyertai CP150 pada tahun 2019.
Sejak menyertai kategori CP150 pada tahun 2019, Tengku Amirul telah meraih satu kemenangan pada Pusingan 6 tahun 2019 di Teluk Intan, Perak.