PUSINGAN ke-8 Kejuaraan Malaysian Cub Prix yang berlangsung di Dataran Seri Jempol, Negeri Sembilan semalam menyaksikan pelumba Petronas Sprinta Yamaha CKJ Racing, Md Akid Aziz memulakan aksinya dengan cemerlang.

Dia mencatat masa terpantas dalam sesi kelayakan bagi kategori CP150.

Pada sesi latihan kedua, Akid mendahului dengan masa terbaik 44.359 saat. Rakan sepasukannya, Ahmad Afif Amran, berada di tempat kedua dengan catatan masa 44.564 saat, manakala Kasma Daniel Kasmayudin dari pasukan Petronas Sprinta Yamaha Maju Motor mencatat masa 44.767 saat di tempat ketiga.

“Untuk perlumbaan di Jempol, saya rasa ‘setup’ saya dalam keadaan yang baik. Setiap pusingan yang saya lalui, saya dapat mengekalkan konsistensi dan berasa mampu untuk melakukan lebih banyak lagi.

“Namun, saya rasa masih ada sedikit ruang untuk penambahbaikan, tetapi saya percaya ia sudah hampir sempurna. Harapan saya di Jempol ini adalah agar seluruh pasukan dapat mendominasi podium dan menyapu bersih tempat pertama hingga ketiga,” katanya.

Dalam sesi kelayakan, Akid berjaya memperbaiki catatan masanya kepada 44.289 saat, sekali gus meningkatkan peluangnya untuk memenangi perlumbaan di Jempol. Kejayaan ini juga menjadi amaran awal kepada juara Pusingan 2 musim lalu di litar yang sama, Kasma, yang mencatat masa kedua terpantas dengan 44.290 saat.

Rakan sepasukan Akid, Emil Idzhar Ezuan dan Afif, turut memberikan saingan sengit dengan catatan masa 44.390 saat dan 44.420 saat, masing-masing menduduki tempat ketiga dan keempat.