PELUMBA dari pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha – 31 Racing, Amirun Haziq Johan kini lebih bermotivasi untuk mengumpul mata keseluruhan bagi kategori Wira KBS.
Sepanjang musim ini, Amirun telah menunjukkan kemahirannya dalam menguasai kategori perlumbaan ini.
Dengan dua kemenangan dan satu podium, dia kini menduduki tangga teratas secara keseluruhan dengan jumlah 94 mata.
“Untuk race di Teluk Intan nanti, ia adalah perlumbaan kali pertama bagi saya maka saya tidak dapat jangkakan apa-apa buat masa kini. Tapi saya cuba memahami susun atur trek dan berharap untuk dapatkan setup yang paling sesuai untuk keadaan litar di situ.
“Buat masa kini, matlamat saya adalah untuk mengutip sebanyak mata yang boleh. Oleh itu, saya akan membuat persiapan yang sewajarnya dari segi pembinaan stamina serta kecergasan fizikal dan mental.
“Saya kena lebihkan fokus dan harap dapat mempelajari trek tersebut secepat mungkin. Sudah tentu saya mengharapkan kemenangan namun begitu, kita akan lihat nanti pada hujung minggu ini,” katanya.
Pusingan Keenam Kejuaraan PETRONAS Malaysian Cub Prix akan berlangsung di Litar Teluk Intan pada hujung minggu ini.
ARTIKEL BERKAITAN : Cub Prix : Litar Teluk Intan penghalang besar Khairi juarai kategori CP125