PELUMBA pasukan Honda Yuzy Estremo Team, Azroy Hakeem Anuar mencatatkan masa terpantas bagi sesi kelayakan kategori CP150 Kejuaraan Petronas Malaysian Cub Prix yang berlangsung pada petang tadi.
Pada sesi latihan bebas yang berlangsung di Litar Antarabangsa Sepang (Selatan) sebelah pagi, Md Izzat Zaidi Md Salehan dari pasukan Petronas Sprinta Yamaha – CKJ Racing mencatatkan masa terpantas pada 1’15:931s diikuti Md Iqbal Amri Abd Malik dari pasukan GIVI Tekhne Yamaha dengan catatan masa 1’16:296s manakala Azroy meraih masa terpantasnya pada 1’16:301s.
Walaupun cuaca agak mendung, pelumba-pelumba telah meneruskan sesi tersebut dengan penuh bersemangat.
Bagi sesi kelayakan pertama, Md Akid Aziz dari pasukan Petronas Sprinta Yamaha – CKJ Racing tekad untuk meneruskan semangat kemenangannya.
Dia muncul sebagai pelumba terpantas dengan catatan masa 1’15:017s. Rakan sepasukan, Ahmad Afif Amran muncul kedua terpantas dengan catatan masa 1’15:200s dan tempat ketiga terpantas milik Md Syafiq Rasol dari pasukan ONEXOX TKKR Racing Team dengan catatan masa 1’15:213s.
Bagi sesi kelayakan kedua, Azroy berjaya mencatatkan masa terpantas dengan catatan masa 1’14:815s.
“Berbanding dengan tahun lepas, masa lap kali tidak sehebat tetapi bukan saya, masing-masing pun sama juga. Pada pendapat saya, mungkin ia disebabkan oleh tarmac baharu yang menyebabkan terlebih grip.
“Cengkamannya agak kuat maka kelajuan jentera menjadi perlahan. Pasukan saya telah bekerja keras untuk minggu ini. Sudah pasti pasukan Honda ingin menjayakan perlumbaan kali ini selepas tewas dengan Yamaha di Jasin hari itu. Saya doakan agar semuanya dipermudahkan untuk saya dan pasukan,” kata Azroy.
Sementara itu, Ahmad Iqram Danish dari pasukan Yamaha Estremo 27 Racing mencatatkan masa terpantas di sesi kelayakan pusingan keempat.
Iqram tampil dengan prestasi yang lebih hebat berbanding dengan sesi latihan bebas apabila mencatatkan masa terpantas pada 1’22:386s. Pelumba yang berasal dari Selangor ini yang telah meraih tempat keenam di Jasin pada pusingan ketiga tampak hebat dan yakin di Litar Sepang.
“Terima kasih kepada pasukan saya yang sering memberikan dorongan yang diperlukan. Pada sesi kelayakan tadi, saya cuba yang terbaik. Saya cuba dari peringkat awal lagi untuk mengikuti kelompok di hadapan dan akhirnya strategi saya berjaya. Saya akan cuba lagi untuk perlumbaan esok,” katanya.
Tempat kedua terpantas diambil of Farres Putra Md Fahdli dari pasukan V-Fiertech Wiramuda Racing dengan catatan masa 1’23:073s. Amirun pula mencatatkan masa ketiga terpantas pada 1’23:196s.