PELUMBA pasukan Honda Yuzy Estremo Team, Azroy Hakeem Anuar ingin fokus dalam membina stamina bagi pusingan yang akan datang untuk menguasai kedudukan yang baik dalam kategori CP150.
Azroy yang kini menduduki tempat kedua secara keseluruhan telah tampil dengan aksi yang hebat pada pusingan lepas yang berlangsung di Litar Permotoran Terengganu dan meraih tempat pertama.
Dia telah menaiki podium sebanyak tiga kali sepanjang musim ini berjaya mengumpul sebanyak 79 mata dan hanya dua mata kurang daripada pelumba di tangga pertama secara keseluruhan.
Kejuaraan Cub Prix yang akan berlangsung di Litar Teluk Intan setelah empat tahun sudah pasti akan memeriahkan lagi suasana lebih-lebih lagi dengan cabaran di antara pelumba-pelumba CP150 yang akan kembali beraksi setelah sekian lama.
“Perlumbaan lepas, cabaran memang ada. Seperti biasa bila sampai di trek, memang saya sudah tahu siapa yang akan fight di depan. Kalau bukan Afif, Kasma. Oleh itu, saya cuba sedaya upaya untuk berada di hadapan mereka.
“Rezeki saya pada hari itu, saya dapat menang. Sekarang, fokus adalah untuk perlumbaan yang akan datang. Kali terakhir berlumba di trek tersebut adalah pada tahun 2019. Masa itu, saya hanya tamat perlumbaan di tempat kelapan.
“Saya kurang gemar litar yang ada u-turn sebenarnya. Oleh itu, untuk perlumbaan akan datang, saya sasarkan kedudukan di tempat lima teratas. Cukup untuk saya !,” katanya.
Tahun ini sudah pasti berbeza bagi Azroy tambahan pula dengan pengalaman yang telah di timba sebagai seorang pelumba yang berkemahiran tinggi dan berkaliber.