PELUMBA pasukan Bad Lab Honda KC Racing, Md Farish Iqmal memberikan persembahan terbaik sebelum meraih kemenangan bagi kategori Wira KBS yang berlangsung di Litar Teluk Intan dalam Pusingan Keenam, Kejuaraan PETRONAS Malaysian Cub Prix pada Ahad.

Di sesi kelayakan semalam, Farish Iqmal dari pasukan Bad Lab Honda KC Racing mencatatkan masa terpantas, 10’20:167 saat sekaligus mengambil tempat pertama di grid untuk perlumbaan hari ini.

Rakan sepasukannya Adib Hareez mencatatkan masa kedua terpantas diikuti oleh Adib Arsyad dari pasukan Yamaha Estremo 27 Racing di tempat ketiga terpantas.

“Terima kasih kepada pasukan saya yang telah membuat persediaan yang baik untuk perlumbaan ini pada hujung minggu in. Pada permulaan, saya ada buat silap sedikit di selekoh pertama. Tetapi, saya cuba mengatasi kesilapan tersebut.

“Rakan sepasukan saya memang hebat dan walaupun saya memberikan tekanan, pada permulaannya memang sukar untuk memintas. Nasib saya baik sebab saya sempat memintasnya di lap-lap terakhir dan berjaya tamatkan perlumbaan di tempat pertama,” katanya.

Di tempat kedua adalah Md Adib Hareez dengan catatan masa 10’20:400s manakala ketiga milik Ahmad Iqram Danish dari pasukan Yamaha Estremo 27 Racing Team dengan catatan 10’25:756s.

CKJ RACING REKOD KEMENANGAN 1-2 KETIGA MUSIM INI

Sementara itu, Ahmad Afif Amran dari pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha – CKJ Racing meraih kemenangan bagi kategori CP150.

Pada sesi Super-Pole yang berlangsung  sebelah pagi, Afif Amran mencatatkan masa terpantas pada 47’238s untuk mengambil kedudukan pertama di grid. Dia diikuti oleh rakan sepasukannya Akid dengan catatan masa 47’310s di petak grid kedua.

Di petak grid ketiga adalah Muzakkir Mohamed dari pasukan ONEXOX TKKR Racing Team dengan catatan masa 47’608s.

“Memang pada awal lagi, saya dah jangka yang Akid and Azroy akan memberikan saingan hebat sebab berat saya terlalu berat. Litar ini mempunyai banyak laluan lurus dan panjang jadi saya tahu mereka mempunyai kelebihan di situ.

“Saya cuba kekalkan kedudukan saya dan hanya buka langkah di selekoh-u. Rezeki saya hari ini kerana dapat tempat pertama,” katanya.

Di tempat kedua adalah rakan sepasukan, Md Akid Aziz dengan catatan masa 15’49:276s. Azroy Hakeem Anuar dari pasukan Honda Yuzy Estremo Team mendapat tempat ketiga dengan catatan masa 15’50:184s.