PELUMBA pasukan GIVI Tekhne, Md Iqbal Amri akan cuba lagi untuk menaiki podium bagi kategori CP150 pada pusingan kesembilan Kejuaraan PETRONAS Malaysian Cub Prix di Kompleks Sukan Permotoran Tangkak.
Di perlumbaan pusingan lepas, Iqbal tampil dengan satu pencapaian yang bagus untuk dirinya apabila menaiki podium buat pertama kali bagi musim ini, lebih-lebih lagi di litar baharu.
Menurut Iqbal, strateginya untuk pada pusingan lepas adalah untuk cuba sedaya upaya untuk mendapatkan tempat lima ke atas di grid.
“Saya mempunyai rentak yang lebih bagus untuk mengekori pelumba di hadapan sehingga ke garisan penamat. Dari segi jentera, banyak yang telah berubah pada musim ini. Saya dapat dapatkan masa yang lebih baik dengan penambahbaikan tersebut.
“Saya juga telah menguatkan mental dan fizikal saya untuk menambah baik prestasi untuk tahun ini. Secara keseluruhan, saya agak puas dengan pencapaian saya walaupun boleh di perbaiki lagi,” katanya.
Pada musim lepas, Iqbal menamatkan perlumbaan 10-pusingan ini di tempat ketujuh secara keseluruhan.
Iqbal kini menduduki tempat kelima secara keseluruhan dengan jumlah sebanyak 77 mata.