PASUKAN Petronas Sprinta Yamaha – CKJ Racing, Md Izzat Zaidi Md Salehan berjaya meraih kemenangan bagi kategori CP150 pada perlumbaan akhir Pusingan keempat Kejuaraan PETRONAS Malaysian Cub Prix berlangsung di Litar Sepang Antarabangsa (Selatan) pada Ahad.

Izzat meningkatkan lagi kelajuan jenteranya sebelum menamatkan perlumbaan dengan kemenangan pertama bagi musim ini pada 14’03:436s.

“Pertama sekali, terima kasih kepada pasukan kerana menyediakan jentera yang sangat hebat pada minggu ini. Memang suatu kelompok yang amat besar dengan jentera-jentera yang sama laju. Persaingannya memang sengit.

“Saya memberikan perhatian kepada strategi saya dan di lap terakhir tadi, semasa pelanggaran, saya mendapat peluang untuk ke hadapan,” katanya selepas perlumbaan.

Di tempat kedua adalah rakan sepasukannya Md Akid Aziz dengan catatan masa 14’03:992s. Nazirul Izzat Md Bahauddin dari pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha Maju Motor mengambil tempat ketiga dengan catatan masa 14’03:994s.

Sementara itu, Syafiq Ezzariq Saiful Nizam dari pasukan Jetron Yamaha YYPang Racing Team menyambut kemenangannya pertama bagi musim ini bagi kategori CP125.

Di tempat kedua adalah Md Syafiq Rosli dari pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha Maju Motor dengan catatan masa 11’00:607s. Rakan sepasukan, Md Aliff Danial Md Asri menamatkan perlumbaan di tempat ketiga dengan catatan masa 11’02:516s.