PELUMBA Petronas Sprinta Yamaha Maju Motor, Kasma Daniel Kasmayudin, muncul juara kategori CP150 Kejuaraan Cub Prix Malaysia di Litar Permotoran Terengganu hari ini.
Kasma Daniel menamatkan perlumbaan 20 pusingan itu dengan catatan masa 16 minit 12.434 saat (s) mengatasi saingan sengit Ahmad Afif Amran (16:12.841s) di tempat kedua.
“Ia adalah satu rezeki untuk menang di bandar tunang saya. Pasukan saya agak cemerlang di Litar Terengganu. Bagi perlumbaan tadi, saya hanya mengawal kelajuan saya dan mengurangkan kesilapan.
“Ramai di antara pelumba-pelumba yang melakukan kesilapan dan saya hanya mengambil peluang tersebut untuk mara ke depan. Bagi saya, jentera saya tidaklah lebih pantas daripada yang lain tetapi saya hanya fokus dan kekalkan momentum saya,” katanya.
Melengkapkan kedudukan podium di tempat ketiga adalah Md. Haziq Md. Fairues juga dari pasukan Petronas Sprinta Yamaha Maju Motor dengan rekod masa 16:17.795s.
Keputusan itu begitu pun sudah cukup untuk mengekalkan Ahmad Afif yang mewakili Petronas Sprinta Yamaha CKJ Racing di tempat teratas pendahulu keseluruhan dengan 122 mata.
Sementara itu pelumba OneXOX TKKR Racing Team, Md. Shafiq Rasol meraih kejuaraan ketiga berturut-turut apabila menamatkan perlumbaan di tempat pertama kategori CP125.
Md. Shafiq terlebih dahulu tiba di garisan penamat dengan catatan masa 12:55.063s sekaligus mengukuhkan status selaku pendahulu keseluruhan mengumpul 119 mata.