PELUMBA pasukan Jetron Yamaha YYPang Racing Team, Md Khairi Ashraf semakin cekal dalam hasrat untuk menjuarai kategori CP125 di Teluk Intan.
Pusingan keenam Kejuaraan PETRONAS Malaysian Cub Prix akan berlangsung di daerah Teluk Intan selepas empat tahun.
Ketika perlumbaan yang berlangsung di litar ini pada tahun 2019, Khairi yang pada ketika itu berlumba di kategori CP125 tidak dapat menamatkan perlumbaannya.
Walau bagaimanapun, Khairi kini tampil bersaing secara kompetitif dan menunjukkan persembahan yang agak konsisten sepanjang musim ini.
““Litar Terengganu adalah litar yang agak mencabar bagi saya tetapi juga adalah salah satu litar kegemaran saya kerana banyak selekoh zig-zag.
“Mungkin kerana itu, saya dapat menguasai litar tersebut pada perlumbaan lepas. Litar Teluk Intan juga adalah suatu litar yang agak sukar kerana litar tersebut agak kecil dan mempunyai selekoh u-turn.
“Namun begitu, saya akan cuba untuk memberikan saingan yang bagus dan cuba menguasai litar tersebut. Pesaing utama saya dalam kategori ini adalah Syafiq Rosali, Syukran dan juga rakan-rakan sepasukan saya kerana mereka mempunyai lebih pengalaman berbanding dengan saya,” katanya.
Pelumba Johor itu yang kembali ke arena CP125 pada tahun ini setelah bergelut di CP150 bukan sahaja beraksi untuk membuktikan kemahiran pengendalian jentera malah untuk memberikan persaingan yang hebat kepada pelumba-pelumba lain di kategori ini.
Pada musim ini, dia berjaya menaiki podium sebanyak tiga kali dengan dua kemenangan dan telah kumpul sebanyak 88 mata secara keseluruhan.