PELUMBA pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha – CKJ Racing, Md Akid Aziz meraih gelaran juara bagi kategori CP150 yang berlangsung di Kompleks Sukan Permotoran Tangkak pada Ahad.
Pusingan Kesembilan Kejuaraan PETRONAS Malaysian Cub Prix itu menyaksikan Akid merakam masa 14’37:985 saat dibelakang rakan sepasukan, Afif Amran yang menamatkan perlumbaan di kedudukan pertama pada 14’37:265s
“Musim ini sangat baik bagi saya. Hanya sekali saya terlepas peluang ke podium di pusingan satu. Pusingan-pusingan seterusnya memang rezeki bagi saya dan saya amat berterima kasih kepada pasukan saya dan mekanik saya yang telah menyediakan jentera yang sangat bagus bagi saya untuk musim ini.
“Mereka juga banyak memberikan saya sokongan dan galakan yang diperlukan. Saya tidak mempunyai sebarang tekanan pada hari ini terutamanya di dua lap terakhir. Saya hanya cuba fokus untuk ke podium dan berharap jentera saya tidak memberikan sebarang masalah.
“Dari semalam dan pagi ini, jentera saya tidak begitu hebat. Oleh itu, saya hanya cuba sedaya upaya untuk buat yang terbaik di sesi perlumbaan tadi,” kata Akid.
Tempat ketiga milik Md Haziq Fairues dari pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha Maju Motor dengan catatan masa 14’38:924s.
Sementara itu, Adib Arsyad dari pasukan Yamaha Estremo 27 Racing berjaya di tangga pertama untuk kategori Wira KBS.
“Saya bersyukur kepada keluarga saya yang sentiasa memberikan saya semangat kepada saya. Masa perlumbaan tadi, saya tidak memikir apa-apa kecuali kemenangan,” ujar Adib.
Tempat kedua diambil oleh Farish Iqmal dari pasukan Bad Lab Honda KC Racing dengan catatan masa 9’34:332s.
Emil Idzhar Ezuan dari pasukan Yamaha Estremo 27 Racing mendapat tempat ketiga dengan catatan masa 9’35:648s.