CUACA hujan sapanjang hari ini tidak melemahkan semangat mahupun menghampakan pelumba-pelumba Kejuaraan PETRONAS Malaysian Cub Prix di pusingan kelapan yang berlangsung di Litar Lumba Tangkak petang Ahad.

Malah disambut meriah oleh PETRONAS Sprinta Yamaha – CKJ Racing apabila pasukan tersebut meraih kedudukan 1-2 di podium bagi kategori CP150.

Perlumbaan kategori CP150 kali ini telah merakam strategi pasukan apabila dua pelumba sepasukan, Md Izzat Zaidi Md Salehan dan Ahmad Afif Amran memberikan persembahan yang cukup mantap dalam mempertingkatkan kedudukan pasukan secara keseluruhan.

Walaupun Izzat hebat pada sebelas lap pertama dalam mempertahankan kedudukannya di P1, Afif bijak menggunakan strategi untuk mencapai kedudukan P1 apabila situasi di litar lebih sesuai untuk beliau. Strategi ini memberikan Afif peluang untuk mengekalkan kedudukannya di tangga teratas secara keseluruhan.

Afif mencatatkan masa terpantas bagi sesi perlumbaan akhir pada 15’05:875s.

Menurut Afif minggu ini adalah suatu minggu yang baik untuknya ari sesi latihan sampailah ke perlumbaan akhir, dia dapat buat yang terbaik.

“Apa-apa masalah berkenaan dengan jentera dapat diselesaikan dengan serta-merta. Semua ini adalah hasil usaha pasukan saya dan krew yang terlibat dalam penyediaan jentera.

“Dalam perlumbaan tadi, saya membuat sedikit kesilapan di permulaan tetapi saya cuba yang terbaik untuk kejar dalam dua lap dan berjaya ke depan. Ini adalah antara strategi saya bersama rakan sepasukan saya sebab saya cuba memaksimumkan mata untuk juara keseluruhan. Saya berterima kasih kepada pelumba sepasukan saya, Izzat Zaidi yang banyak menolong saya pada perlumbaan kali ini,” jelasnya,

Tempat kedua pula disambar oleh Izzat dari pasukan dengan catatan masa 15’07:601s.

Azroy Hakeem Anuar dari pasukan Honda Yuzy Idemitsu Team mengambil tempat ketiga dengan catatan masa 15’09:482s.

Bagi kategori CP125 pula, persaingan sengit di antara pelumba-pelumba berakhir apabila Md Irfan Haykhal Amidi dari pasukan Honda KC Racing menyambar tempat pertama.

Irfan telah tampil hebat di perlumbaan petang tadi apabila beliau yang bermula di petak grid kesebelas dengan pantas mengambil P4 di lap pertama. Beliau kemudiannya mengukuhkan kedudukannya di lap-lap seterusnya sebelum mengambil alih tempat pelumba yang pada ketika itu menduduki P1 di lap ketujuh.

Menurut Irfan, pada perlumbaan itu, dia cuba untuk masuk ke kelompok lima ke atas.

“Kemudian, pada setiap lap seterusnya, saya cuba untuk memintas seorang demi seorang. Pada lap ketujuh dan seterusnya, saya cuba mengambil P1 dan berjaya. Lap terakhir sememangnya amat kompetitif tetapi saya cuba juga untuk teruskan momentum. Akhirnya, saya berjaya,” ujarnya.

Tempat kedua pula jatuh ke tangan Md Shafiq Rasol dari pasukan ONEXOX TKKR Racing team dengan catatan masa 11’38:979s.

Md Fareez Afeez Abd Rahman dari pasukan YYPang Yamaha Racing Team mengambil tempat ketiga dengan catatan masa 11’40:677s.

Sementara itu, bagi kategori Wira KBS, Md Farish Iqmal Khayrul Elyas dari pasukan Honda KC Racing menyambut kemenangan pertama pada petang ini di Litar Lumba Tangkak.

Farish (tengah) menjulang trofi kejuaraan di Litar Tangkak.

Farish yang telah memulakan perlumbaan di petak grid ketiga selepas sesi “Shoot-Out” pagi tadi telah menampilkan kepakarannya apabila beliau mencuri peluang untuk mengorak ke P1 di awal perlumbaan lagi. Walaupun Farish di beri tekanan oleh pelumba PETRONAS Sprinta Yamaha – 31 Racing yang telah mencuba sedaya upaya untuk memintasnya, Farish tidak memberikan peluang kepada pelumba tersebut.

Sebaliknya, Farish tampil dengan strategi yang berkesan apabila beliau mengekalkan momentum lalu meninggalkan persaingnya jauh. Sepanjang perlumbaan 12-lap tersebut, Farish berjaya mempertahankan kedudukannya sebelum beliau menuju ke garisan penamat dengan catatan masa 9’29:988s.

Tempat kedua jatuh ke tangan Md Adam Haikal Jahar dari pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha – 31 Racing dengan catatan masa 9’31:547s.

Md Farid Hakimi Farid Sezli dari pasukan Idemitsu Honda Yam Racing mengambil tempat ketiga dengan catatan masa 9’31:822s.