DENGAN rekod tiga kali berturut-turut menaiki podium di tempat pertama bagi tiga pusingan lepas, Md Shafiq Rasol dari pasukan ONEXOX TKKR RACING TEAM lebih bermotivasi untuk ke pusingan kelapan Kejuaraan PETRONAS Malaysia Cub Prix 2022  pada 17-18 September ini.

Persembahan Shafiq sepanjang musim ini dalam kategori CP125 ternyata memuaskan. Sejak permulaan tahun lagi, dia telah menampilkan prestasi yang baik bermula dengan pencapaian di tempat kedua di podium di pusingan pertama. Walaupun tiga perlumbaan yang berikutnya tidak memberikan Shafiq peluang untuk menaiki podium, namun itu bukan penghalang untuk dia  menggandakan usaha dan menyapu tempat pertama bagi tiga pusingan seterusnya.

Selepas tujuh pusingan, Shafiq kini menduduki tempat teratas secara keseluruhan dengan jumlah 119 mata. Pelumba kelahiran Melaka ini tampak bersemangat untuk mengekalkan kedudukannya dan telah beraksi secara kompetitif pada musim ini.

Pada tahun 2021, Shafiq telah beraksi di kategori CP150 apabila dia  berjaya di tempat ketiga secara keseluruhan pada tahun sebelumnya. Namun begitu, Syafiq tidak mampu membawa pengalaman berlumbanya ke tahap CP150 dan kembali ke CP125 pada musim ini yang telah menunjukkan penguasaan jentera dan litar serta penggunaan strategi yang mantap.

Menurut Shafiq,  Litar Tangkak amat teknikal dan sedang berusaha untuk mendapatkan penalaan jentera dengan secepat mungkin.

“Saya akan buat yang terbaik bersama-sama dengan rakan sepasukan saya untuk mengutip sebanyak mata yang mungkin untuk pasukan saya. Berlumba di Litar Tangkak ini ada kelebihan dan kekurangan tetapi saya berazam untuk mengulangi kejayaan saya. Ia sememangnya sukar dengan pelumba-pelumba lain yang sentiasa memberikan persaingan yang hebat tetapi saya akan cuba sebaik mungkin,” jelasnya.

Sementara itu, pengurus pasukan ONEXOX TKKR RACING TEAM, Alizan Thambi memberitahu, persiapan berjalan lancar.

“Kami cuma ingin mengekalkan momentum kemenangan sebab kita dah hampir menang dalam kategori CP125 samada bagi individu mahupun pasukan. Buat masa kini, kami akan cuba sedaya upaya untuk mendapatkan mata yang cukup.

“Bagi Shafiq dan Hafiza, kami rasa salah seorang daripada mereka akan meraih gelaran juara cuma bergantung kepada nasib ataupun strategi untuk tiga perlumbaan terakhir ini.

“Jika salah seorang daripada mereka mendapat tempat pertama minggu ini di Tangkak, untuk individu, kita bolehlah menyambut kemenangan awal. Bagi pasukan pula, kedudukan pasukan premier ini memang baik dan pasukan junior juga dalam kedudukan tiga terbaik. Oleh itu, minggu ini kami akan menempatkan Shafiq dan Hafiza dalam pilihan utama kami,” jelasnya.