PENAUNG Kedah Darul Aman (KDA) FC, Tan Sri Dr Mohd Daud Bakar bersyukur apabila buat pertama kali bermain di tempat sendiri berhadapan penyokong sendiri selepas banyak siri perlawanan di tempat lawan, berjaya meraih tiga mata penuh.
Menurutnya, harga kemenangan ini adalah cukup bernilai kepada semua pihak.
“Dah lama tak menang dan bersorak kemenangan. Amat indah momen kejayaan. Semoga ini menyuntik semangat perjuangan yang luar biasa di kalangan pasukan kejurulatihan dan juga setiap pemain.
“Harga siri kekalahan sebelum ini juga amat bernilai. Tiada apa yang sia-sia dalam kehidupan. Bila jatuh tersungkur, kena ada kehendak akal dan keberanian jiwa serta kekuatan tubuh badan untuk bangkit semula,” katanya menerusi catatan di Facebook pada Rabu.
Pada aksi Liga Super di Alor Setar malam tadi, Sang Kenari berjaya menjinakkan Sarawak United FC 3-1.
Beliau yang juga tokoh usahawan tanah air memberitahu, banyak perkara dan aspek yang perlu perubahan serta penambahbaikan.
Katanya lagi, semua ini proses yang wajar dalam mengejar dan memburu sebuah kejayaan yang didambakan.
“Tidak guna menang kalau tidak mahu lebih menang. Tidak guna kalah kalau tidak mahu melihat kesilapan diri sendiri.
“Setiap orang ada hak dan peluang untuk menang dan berjaya.
“KDA FC pun ada hak dan peluang untuk menang dan berjaya. Sokongan padu yang tidak berbelah bahagi daripada semua penyokong, rakyat Kedah Darul Aman adalah penyuntik inspirasi yang paling tinggi dan berimpak.
“Tahniah kepada pemain muda KDA FC yang banyak beraksi semalam. Kemungkinan besar dalam perlawanan seterusnya KDA FC hanya boleh mempertaruhkan tiga pemain impot sahaja kerana masalah kecederaan. Ini adalah fakta dan realiti yang baharu,” katanya.
Beliau turut memuji kesemua pasukan termasuk jurulatih, pasukan kejurulatihan dan semua pemain.
“Terima kasih Ronald Wanja, Sanrawat dan Mahmoud Al-Mardi kerana mencipta impak yang hebat malam tadi.
“Tahniah kepada Al-Mardi kerana terpilih sebagai MOTM.
“Terima kasih semua penyokong Sang Kenari,” ujarnya.