Kredit foto: Sabah Football Club
PENGENDALI Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee mengakui dia bukan sahaja gembira dengan dua kemenangan berturut-turut pasukannya tetapi kerana mereka berjaya mengelak daripada dibolosi dan itu dianggap perkara paling positif dalam kemenangan 4-0 ke atas Penang FC.
Skuad Badak tidak berdepan masalah menewaskan Harimau Kumbang dengan empat gol luar biasa yang dianggap pengendali itu sebagai kelebihan buat pasukannya dalam mencari gol.
“Ianya satu kemenangan yang baik selepas kita menang di Manjung dan kini kita mendapat tiga lagi mata di tempat lawan tetapi perkara yang paling positif adalah kita tidak dibolosi.
“Ini adalah perkara yang jarang terjadi di Sabah tetapi kerana pemain berjaya mengekalkan prestasi meskipun selepas mendahului tiga gol dan mereka tidak membenarkan pasukan lawan menjaringkan gol.
“Menjaringkan gol dari jarak jauh boleh dianggap satu kelebihan buat Sabah yang mana dalam permainan bola sepak, kita mempunyai pelbagai cara untuk mendapatkan gol,” katanya dalam sidang media selepas perlawanan.
Kim Swee turut menolak andaian pasukannya memperolehi kemenangan mudah sebaliknya menegaskan ianya adalah hasil kerja keras dan disiplin terutama apabila mereka berada di luar Kota Kinabalu selama seminggu.
“Kita tidak boleh mengambil mudah kepada mana-mana pasukan kerana sikap ini boleh memberikan keputusan yang berbeza. Disiplin adalah perkara utama dalam pasukan ini selain kerjasama berpasukan yang kuat dapat dilihat dalam dua perlawanan ini,” jelasnya.
Sabah memperolehi enam mata maksimum dari dua perlawanan menentang Perak dan Penang serta menjaringkan lapan gol sekaligus melonjak ke tangga ketiga dengan 20 mata yang akan dijadikan semangat untuk bertemu Kedah Darul Aman FC di Likas pada 29 Oktober nanti.