PELUMBA Moto3 negara, Syarifuddin Azman mahu membawa momentum positif yang dicapainya di Grand Prix Argentina ke Grand Prix Amerika Syarikat yang bermula pada Jumaat.
Syarifuddin atau mesra disapa Damok yang mewakili MT Helmets-MSI itu berharap dorongan pasukannya mampu memberikan kelebihan untuknya pada perlumbaan pusingan ketiga Kejuaraan MotoGP Dunia di Litar Americas (COTA) nanti.
Damok berjaya meraih lima mata pertamanya musim ini di GP Argentina selepas menamatkan perlumbaan pusingan kedua di tempat ke-11 di Litar Termas de Rio Hondo, Buenos Aires.
“Selepas keputusan yang baik di Argentina, saya kini lebih gembira dan positif. Pasukan saya juga bersedia untuk memberikan yang terbaik pada pusingan ketiga di Austin ini.
“Sasaran saya adalah untuk berada pada kelompok ke-15 terbaik dalam setiap sesi dan akan cuba sehabis baik untuk mendapatkan keputusan yang terbaik dalam perlumbaan kali ini. Oleh itu, saya harapkan doa dari semua untuk saya dalam perlumbaan pusingan ketiga ini.
“Ini kali pertama saya di litar ini dan saya membuat beberapa ulangkaji tentang litar dengan menonton perlumbaan tahun lalu untuk mengkaji sedikit sebanyak berkenaan litar sepanjang 5.8 kilometer itu,” kata pelumba berusia 21 tahun ini.
Damok hadir ke COTA dengan jumlah lima mata dan kini menghuni tangga ke-17 keseluruhan bagi saingan kelas Moto3 dengan pelumba Sepanyol, Daniel Holgado mendahului carta dengan 38 mata manakala Diogo Moreira, 36 mata dan Tatsuki Suzuki berada di kedudukan ketiga, 27 mata.