KOMITED membangunkan ekosistem e-sukan negara, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) memperkenalkan peruntukan khas sebanyak RM250,000.
Peruntukan yang dinamakan Dana Esukan KBS itu, disalurkan menerusi Esports Integrated (ESI), dalam usaha membantu komuniti dan industri e-sukan negara berkembang.
Menerusi kenyataan media dari ESI, dana itu akan digunakan untuk memberi galakan kepada penggiat industri e-sukan tempatan menganjurkan lebih banyak program, pertandingan dan merancakkan lagi ekosistem sukan terbabit, di negara ini.
Tambahnya, persatuan yang mahu menganjur kejohanan, melaksanakan program pembangunan atau memerlukan pembiayaan visa, boleh memohon dana berkenaan.
“Pertubuhan kecil, kelab, persatuan dan syarikat yang memerlukan bantuan dana bagi penganjuran program, pertandingan dan acara e-sukan dipelawa memohon dana ini.
“Ada beberapa syarat iaitu peruntukan maksimum yang akan dipertimbangkan untuk setiap permohonan adalah sehingga RM25,000 sahaja dan semua program yang dipohon perlu dianjurkan sebelum 31 Januari 2024 serta syarat lain yang perlu dipenuhi,” katanya.
Jelas ESI, setiap persatuan atau organisasi yang berminat perlu membuat permohonan segera kerana tarikh akhir permohonan akan ditutup pada pada 30 November 2023.
Bagi mereka yang berminat, boleh membuat permohonan menerusi pautan www.esportsintegrated.com/dana-esukan-kbs atau boleh e-mel ke hey@esportsintegrated.com selain boleh hubungi 03-8064 4488 / 011-5429 5372 untuk mendapatkan keterangan lebih lanjut.
Di samping itu, perkembangan e-sukan di Malaysia semakin menunjukkan hasil positif termasuk memenangi dua pingat di temasya Sukan Asia Hangzhou 2022 menerusi Arena of Valor dan Dota 2.
Malah, Malaysia turut menerima jemputan melalui wild card ke Kejohanan ‘Honor of Kings International Championship’ di China selepas menampilkan prestasi cemerlang dalam acara e-sukan Arena of Valor.
Sebelum ini, Perdana Menteri Ke-10 merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah memperuntukkan sebanyak RM30 juta bagi pembangunan serta pertumbuhan e-sukan di negara ini melalui Belanjawan 2024 dan ini membuktikan kesungguhan kerajaan menjadikan Malaysia hab e-sukan yang terbaik di negara ini.