ATLET para negara terus mempamerkan usaha dan kecemerlangan dalam aksi-aksi kelayakan ke Sukan Paralimpik Paris 2024.
Hasilnya, seorang lagi atlet para memanah negara, Daneshen Govinda Rajan bakal menjelmakan dirinya ke Paralimpik Paris 2024 selepas memenangi pingat perak dalam acara Compound Men Open di ’18th Fazza Para Archery World Ranking Event’, Kelayakan Dunia ke Paris 2024.
Sebelum ini, dua rakannya iaitu Suresh Selvatamby dan Nurjannaton Abdul Jalil masing-masing telah mengesahkan slot ke Paralimpik Paris 2024.
Jadi, dengan kejayaan Daneshen baru-baru ini, seramai tiga atlet dari Pasukan Para Memanah Kebangsaan telah layak secara merit ke Paralimpik Paris 2024
Maka, kini sudah terdapat 10 wira para ke temasya sukan berprestij tersebut dan mereka mewakili empat kategori sukan iaitu dua antaranya atlet renang, dua olahraga, tiga berbasikal serta tiga memanah.
Terdahulu, FLASH SUKAN melaporkan bahawa pihak Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) telah mensasarkan lebih 20 atlet yang akan membawa nama Malaysia ke pentas dunia (Paralimpik Paris 2024).
Keputusan untuk jumlah sebenar atlet yang layak bakal diketahui pada bulan Mei iaitu selepas tamat aksi-aksi kelayakan yang sedang berlangsung.