PERTAHANAN Brazil, Dani Alves ditahan pihak polis bagi membantu siasatan kes gangguan seksual melibatkan pemain tersebut.

Bekas pemain Barcelona, 39, dituduh melakukan gangguan seksual kepada seorang wanita dengan memegang wanita tersebut secara tidak sopan dalam sebuah kelab malam di Barcelona, Disember lalu.

Alves bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan telah disoal hakim apabila dibawa ke ruang perbicaraan pada Jumaat.

Berhubung insiden tersebut, kelab dari Mexico yang disertainya, Pumas UNAM menamatkan kontrak pemain tersebut berkuatkuasa serta-merta.

“Kelab teguh dengan prinsip tidak akan berkompromi dengan mana-mana perlakuan sumbang sesiapa sahaja, tidak kisah siapa anda, yang bertentangan dengan nilai dan matlamat kelab ini.

“Kita tidak akan mengizinkan perlakuan seseorang yang akan merosakkan falsafah kerja kami, yang telah menjadi ikutan sepanjang zaman,” ujar Presiden Kelab Pumas Leopoldo Silva.

Berita mengejutkan itu memberi tamparan hebat kepada Brazil kerana Alves sebelum ini beraksi dengan baik dalam skuad dengan telah bermain 408 kali bersama Barcelona dan turut merupakan antara skuad yang dibawa ‘Samba’ di Piala Dunia Qatar 2022.