PEMANDU veteran F1, Daniel Ricciardo mengucapkan terima kasih kepada peminat hari ini susulan satu perjalanan Formula Satu “berliku dan indah” selepas disingkir oleh pasukan RB dan digantikan oleh pemandu muda New Zealand, Liam Lawson bagi baki musim 2024.
Kontrak pemandu berusia 35 tahun itu berakhir selepas Grand Prix Singapura hujung minggu lalu dan dia digugurkan dengan berbaki enam perlumbaan, sekali gus mungkin mengakhiri karier panjangnya dalam sukan itu.
“Saya sayangi sukan ini sepanjang hayat saya. Ia satu perjalanan yang berliku dan indah,” katanya susulan pengumuman pasukan itu.
“Kepada pasukan dan individu yang memainkan peranan mereka, terima kasih. Kepada peminat yang sayangkan sukan ini kadangkala lebih berbanding saya, terima kasih.
“Ia sentiasa ada pasang surutnya tetapi ia menyeronokkan dan sejujurnya saya tidak akan mengubahnya,” katanya.
“Ia satu penghormatan untuk berlumba dengan anda selama ini,” kata juara dunia tujuh kali Hamilton dalam Instagram.
“Saya tidak akan lupakan pertarungan, ketawa ria dan minum bersama anda. Saya bangga melakukannya bersama anda,” katanya.
Rakan sepasukan Hamilton di Mercedes, George Russell memuji Ricciardo kerana impaknya dalam F1.
“F1 tidak akan sama tanpa anda, kawan. Moga yang terbaik dalam perjalanan anda seterusnya,” ujarnya.