ATLET terpantas Sukan Malaysia (Sukma) 2024, Danish Ifthikar Muhammad Roslee meluahkan ucapan terima kasih kepada kedua ibu bapa serta guru-gurunya selepas berjaya memenangi pingat emas acara 100 meter di Stadium Sarawak pada Isnin.
Pelari berusia 17 tahun itu memecut laju ke garisan penamat dengan masa 10.53 saat sekaligus meninggalkan atlet dari Selangor dan Pahang yang terpaksa berpuas hati dengan pingat perak dan gangsa.
Danish yang dilatih bapanya sendiri di Politeknik Ibrahim Sultan, Pasir Gudang mengakui tidak menyangka akan bergelar atlet terpantas temasya kali ini kerana dia hanya bertawakal dan melakukan apa yang dipelajari ketika sesi latihan.
“Saya sendiri tidak menyangka dapat bergelar Raja Pecut Sukma kali ini. Saya hanya tawakal atas apa yang saya buat dan percaya dengan proses dan syukur saya berjaya menang pingat emas ini.
“Saya mula bergiat dalam sukan olahraga sejak berusia sembilan tahun tetapi betul-betul fokus pada usia 15 tahun dengan menjalani latihan bersama ayah saya yang juga jurulatih peribadi saya.
“Sasaran saya tahun ini adalah untuk berjaya di Sukma dan juga dalam SPM kerana saya baru berusia 17 tahun dan akan menduduki peperiksaan itu pada tahun ini,” katanya selepas majlis penyampaian pingat.
Danish juga mengakui dia mempunyai rutin harian bagi memastikan dia dapat mengimbangi antara belajar dan sukan serta disulam dengan ibadah kerana dia percaya tiga eleman ini yang memberikan kejayaan kepadanya.
“Sebelah pagi saya ke sekolah sehingga jam 2.30 petang dan kemudian saya berehat sebentar sebelum menjalani latihan dari jam 4.30 hingga 6.30 petang dengan ayah saya dan apa yang paling penting adalah ibadah.
“Saya lakukan perkara ini kerana Allah dan terima kasih kepada ibu bapa saya serta cikgu-cikgu yang sudah banyak berkorban untuk saya selama ini. Terima kasih juga kepada semua pihak yang banyak membantu saya untuk sampai ke tahap ini,” jelasnya.
Danish kini bersedia untuk beraksi pada acara 200 meter yang dijadualkan pada Selasa selain mahu beraksi di kejohanan-kejohanan lain di mana dia dilihat berpotensi untuk berkembang sebagai atlet masa depan.