KEHEBATAN bintang bola sepak pasukan Harimau Malaya, Faisal Halim beraksi di atas padang sudah tidak boleh disangkal lagi.

Malah, anak kelahiran Pulau Pinang itu sering menjadi sasaran kecaman para netizen yang memperlekehkan penampilannya setiap kali bermain atas padang.

Namun begitu, ada sesuatu yang unik apabila namanya terus meniti perhatian dalam kalangan peminat bola sepak termasuk di kalangan kanak-kanak dan golongan remaja.

Terbaharu, Faisal sekali lagi mencuri perhatian apabila dia menyerahkan sepasang kasut miliknya yang berjenama Ortuseight kepada salah seorang penyokong setia yang hadir menyaksikan sesi latihan pasukan Malaysia menentang Papua New Guinea di Padang Terengganu FC, dekat Kompleks Sukan Gong Badak pada Jumaat.

Faisal menyerahkan but kepada Alif Ashraf di Padang TFC, Kompleks Sukan Gong Badak petang tadi.

FLASH SUKAN yang baharu selesai menyaksikan latihan sempat melihat pemain sayap lincah kebangsaan menuju ke arah seorang penyokong yang pada mulanya ingin menangis kerana sebak dapat bertemu pemain idola sepertinya.

Remaja yang bertuah itu adalah Ahmad Alif Ashraf Abdullah,15, yang juga merupakan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Batu Rakit.

Ketika ditemui, Ahmad Alif Ashraf tidak dapat menyembunyikan perasaan teruja kerana sudah lama menantikan untuk berjumpa dengan bekas tonggak utama Penyu itu sejak berpindah ke Selangor FC musim ini.

“Saya seronok sangat-sangat kerana dapat bertemu bertentang mata dengannya. Saya memang nak tahan menangis tapi tak boleh tadi. Saya tak tahu nak cakap mana lagi, tak tahu. Jadi kelu.

“Alhamdulillah, saya dapat koleksi kasut bola yang disarung Faisal yang diidamkan dan dia ada bagi pesanan jaga elok-elok kasut itu.

“Terima kasih abang Faisal. Saya berazam mahu jadi sehebat dirinya dan bermain untuk skuad Malaysia satu hari nanti,” katanya merupakan penyokong tegar Terengganu dan bermain di posisi penyerang.