TAHAP kecederaan yang dialami penerjun senior negara, Ooi Tze Liang pada Kejohanan Terjun Terbuka Malaysia, belum dapat dipastikan sehingga menerima laporan perubatan dari pihak hospital.
Setiausaha Agung Renang Malaysia (MS), Andy Low berkata, pihaknya tidak dapat memberikan gambaran sebenar tahap kecederaan dialami Tze Liang namun berharap, kecederaan dialami tidak serius.
“Kemalangan yang tidak kita duga, saya harap kecederaannya tidak teruk,” kata Andy, ketika diminta mengulas situasi dihadapi Tze Liang.
Menurut Andy, Tze Liang dipercayai mengalami luka pada pada dahi sehingga berdarah, dikejarkan ke sebuah pusat perubatan swasta berhampiran Bukit Jalil.
“Dari segi psikologi, kita akan bantu dia menerusi ISN (Institu Sukan Negara) untuk mengembalikan semangat dan memulihkan psikologi,” ujar Andy sambil mengesahkan Tze Liang mengalami kecederaan ketika melakukan terjunan baharu yang
menggunakan darjah kesukaran lebih tinggi.
Terdahulu, Tze Liang yang memimpin kedudukan selepas tamat terjunan pertama, 3 meter papan anjal akhir, mengalami kecederaan kepala selepas melakukan balik kuang apabila kepalanya terhantuk pada papan sehingga menyaksikan penyelamat segera memasuki kolam untuk mengeluarkannya.
Acara itu dimemangi Fraser Tavener dari New Zealand, pingat perak Muhammad Syafiq Puteh manakala gangsa milik seorang lagi penerjun New Zealand,Liam Stone.