Oleh MOHD FARIQ
SIANG-SIANG menjadi angan-angan, malam menjadi buah mimpi.
Mungkin simpulan bahasa itu tepat untuk menggambarkan kejayaan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin selepas terpilih menjadi Ahli Majlis Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) bagi ahli jawatankuasa eksekutif Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) penggal 2023-2027 pada petang hari ini.
Hamidin bersama Kohzo Tashima dari Jepun, Mariano V Araneta Jr (Filipina), Sheikh Hamad Khalifa (Qatar) dan Yasser H. Almisehal masing-masing berjaya memenangi undian bagi posisi yang menyaksikan lima hanya terpilih daripada tujuh pencalonan tersebut di Manama, Bahrain.
Menurut Hamidin, beliau kekal merendah diri dengan menganggap kejayaan menjadi Ahli Majlis FIFA bukanlah satu tugasan yang mudah tetapi dalam masa yang sama beliau bersyukur kerana diberikan kepercayaan daripada rakan-rakan global untuk bersama dengan pucuk kepimpinan bola sepak dunia.
“Saya bersyukur kerana dipilih menjadi Ahli Majlis FIFA. Pertama saya mahu mengucapkan terima kasih kepada semua pihak khususnya keluarga saya, perwakilan dan semua pihak yang telah banyak memberikan sokongan moral kepada saya selepas saya dicalonkan dalam pemilihan kali ini,” itulah yang sedikit dikatakan kepada FLASH SUKAN.
Hamidin kini menjadi tokoh keempat negara yang memenangi jawatan itu selepas bekas Naib Presiden FAM, Lim Kee Siong menjadi individu pertama pada tahun 1960 disusuli Tan Sri Hamzah Abu Samah yang menang tanpa tanding di Kongres AFC untuk jawatan tersebut pada tahun 1972 selepas dua calon lain menarik diri dan selepas itu adalah Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri-ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang memenangi kerusi tersebut pada Kongres AFC di Bahrain pada 2015.