AKSI pemain pertahanan muda Terengganu FC, Safwan Mazlan kini mula mendapat perhatian para penyokong bola sepak tempatan selepas dia dan barisan pertahanan muda yang lain membantu skuad Peteh berada pada prestasi terbaik dengan rekod 12 perlawanan tanpa kalah setakat ini.
Safwan, 21 yang bakatnya mula dikesan ketika mewakili Terengganu IV dan menjuarai Sukma 2022 di bawah kendalian jurulatih Badrul Afzan Razali, kini adalah antara watak penting di benteng Terengganu FC yang mendapat kepercayaan jurulatih, Tomislav Steinbruckner.
Dia bersama-sama Azam Azmi Murad, Shahrul Nizam Ros Hasni dan Alif Zakaria membentuk bek berempat yang kental sekali gus membuka mata semua pihak yang kagum dengan kematangan aksi ditunjukkan barisan pertahanan muda ini yang kini disifatkan sebagai aset negara.
Sejak mencipta kejayaan di Sukma, nama Safwan terus melonjak apabila dia kini turut beraksi di saingan Piala AFC dan dilihat tenang mengawal benteng sebelah kiri meskipun diasak hebat pemain kelab Australia, Central Coast Mariners dan membantu Terengganu mencatat kemenangan bersejarah di peringkat Asia.
Safwan yang ditemui FLASH SUKAN selepas perlawanan suku akhir Piala Malaysia menganggap lonjakan dalam kariernya ini adalah rezeki dari Tuhan dan hasil dari kepercayaan yang diberikan oleh barisan kejurulatihan kepadanya.
“Syukur ini semua rezeki dari Tuhan dan juga kepercayaan dari barisan kejurulatihan terutama Tomislav yang percaya dengan kemampuan saya hingga saya dapat bermain di Piala AFC.
“Saya juga tidak mempunyai masalah membentuk gandingan dengan pemain pertahanan yang lain kerana kami sudah memahami corak permainan masing-masing dan saya akan berikan segalanya jika diberikan kesempatan untuk bermain,” katanya.
Anak kelahiran Batu Rakit itu juga sudah berjaya menjaringkan satu gol di Liga Super ketika membelasah Kelantan FC 0-8 dalam aksi di Kota Bharu dan berdasarkan prestasi semasa tidak mustahil dia dipanggil pengendali kebangsaan, Kim Pan-gon untuk menghadapi Kejohanan Pestabola Merdeka pada Oktober.
Safwan juga adalah tunjang utama skuad B-23 tahun kebangsaan yang baru-baru ini muncul juara Piala Merlion di Singapura dan mungkin akan memperkuatkan pasukan menjelang aksi Piala Asia AFC B-23 di Qatar tahun hadapan.