TUNKU Panglima Johor, Tunku Abdul Rahman Hassanal Jefri mengimbau semula detik manis, pada sejarah awal perlumbaannya bersama pasukan Triple Eight Racing di bawah Johor Motorsports Racing (JMR).
Menurutnya, genap sudah lima tahun sejak dirinya mula berkecimpung dalam industri sukan permotoran iaitu pada tahun 2019 dan kini pasukannya telah berjaya meraih pelbagai pencapaian cemerlang di peringkat antarabangsa.
Tunku Abdul Rahman yang merupakan tunjang utama pasukan Triple Eight menyatakan bahawa dirinya tidak sesekali pernah berpuas hati akan kejayaan yang telah diraih, malah akan terus mengejar kemenangan demi kemenangan pada masa akan datang.
“Ini perasaan yang sangat luar biasa apabila dapat mengenang semula semua kejayaan yang kami miliki sejak memulakan perlumbaan bersama JMR. 2019 adalah penampilan sulung saya dalam perlumbaan GT3 iaitu di Litar Antarabangsa Sepang.
“Jadi, perjuangan dari tempat ke-20 dalam perlumbaan sehingga kini berjaya mendapatkan Podium kedua (P2) adalah satu kenangan yang akan sentiasa terukir dalam ingatan saya.
“Sentiasa menjadi visi utama saya untuk bersaing dengan pelumba-pelumba terbaik di peringkat global, dan pasukan kami sedang berada dalam landasan yang baik untuk mencapai visi tersebut pada musim ini.
“Terima kasih kepada keluarga saya, rakan-rakan dan semua rakan kongsi atau penaja yang sentiasa menemani saya di setiap langkah perjalanan ini,” kata beliau dalam kenyataan yang dikeluarkan ke laman Instagram rasminya.
JMR telah berjaya mencatatkan satu kejayaan pada tahun 2024 ini, dengan menamatkan perlumbaan di tempat kedua dalam Kejuaraan Asian Le Mans Series Februari lalu.