WALAUPUN meledak gol kedua penting bagi mengikat Syria, penyerang skuad Harimau Malaya, Darren Lok sedikit ralat kerana gagal memenangi perlawanan persahabatan di Chengdu.
Dia yang masuk pada babak kedua menggantikan Paulo Josue menamatkan keresahan peminat di tanah air untuk gol pada m-85 sekali gus mengelak tewas di tangan pasukan gergasi dari Asia Barat itu.
“Saya sedikit ralat apabila tidak mampu untuk menang perlawanan tersebut kerana berjaya mencipta banyak peluang.
“Gembira dengan pasukan dapat bangkit daripada ketinggalan 2-0. Saya rasa pada babak kedua kita lebih baik yang mana kita mempunyai banyak peluang dan mungkin sedikit kecewa kerana tidak dapat menang perlawanan tadi.
“Tapi keputusan 2-2 adalah keputusan yang baik untuk kita,” katanya selepas perlawanan menerusi video perkongsian dari Facebook Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) pada Rabu.
Semantara itu, rakan sepasukan, Akhyar Rashid lega dan gembira selepas melakukan kebangkitan untuk mengakhiri perlawanan dengan keputusan seri 2-2.
“Syukur Alhamdulillah perlawanan petang tadi dapat comeback 2-2. Harap kita dapat kekalkan momentum ini untuk perlawanan akan datang,” katanya.
Pemain kelab Johor Darul Ta’zim turut menghamburkan kata pujian buat rakan-rakan berdasarkan penampilan mereka sepanjang tempoh 90 minit permainan.
Apatah lagi, keputusan positif hadir selepas berjaya menghadirkan tentangan sengit kepada pasukan yang berada di ranking ke-94 dunia.