PENYERANG kebangsaan, Darren Lok gembira dan teruja dengan fenomena sokongan yang diberikan kepada Harimau Malaya dan menganggapnya sebagai dorongan tambahan dan bukannya tekanan buat para pemain.

Dia berbangga dengan semangat dan perhatian yang diberikan penyokong kepada skuad kebangsaan dan mahu membalas kepercayaan itu dengan memberikan aksi terbaik setiap kali dia menyarung jersi kebangsaan.

“Pada saya ianya adalah perkara yang sangat baik. Tidak ada perasaan yang lebih membanggakan apabila mewakili Malaysia. Sememangnya bermain untuk kelab juga bagus tetapi perasaan dan ‘hype’ yang terbina menjelang perlawanan kebangsaan tidak dapat digambarkan dengan kata-kata.

“Untuk mempunyai penyokong yang sentiasa di belakang kami dan semangat ke arah Piala Asia sangat mengujakan. Perlawanan persahabatan ini sangat penting dan kami perlu bersedia dengan baik dan gembira dengan ‘hype’ yang kami terima dari penyokong,” katanya ketika ditemui di kem latihan pusat Harimau Malaya.

Pemain berusia 31 tahun itu juga meletakkan sasaran mahu menjaringkan gol dalam dua perlawanan persahabatan antarabangsa menentang Syria dan China meskipun sedar ianya bukanlah tugas yang mudah buatnya.

“Saya sentiasa mahu menjaringkan gol kerana itu adalah tugas sebagai penyerang. Di bawah sistem permainan Kim Pan-gon kami bermain secara agresif dan ‘high pressing’ dan berharap saya dapat berikan sesuatu kepada skuad kebangsaan.

“Seperti yang saya katakan, kebolehan penyerang diukur menerusi jaringan dan saya cuba untuk jaringkan seberapa banyak gol untuk Malaysia dan juga membantu pasukan di bahagian yang lain,” katanya.

Darren yang mempunyai 22 kaps bersama Harimau Malaya juga selesa dengan kem latihan pusat meskipun menjalani sesi latihan yang sukar namun dia sudah bersedia untuk menghadapi dua perlawanan di Chengdu.