PRESIDEN Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Datuk Hamidin Mohd Amin mahu membuka pintu pejabatnya di Kelana Jaya untuk anak-anak muda yang mahu belajar mengenai kepimpinan dalam sukan.
Beliau berkata demikian dalam ucapan kemenangan selepas dinobatkan sebagai Ikon Sukan Kepimpinan di Anugerah Ikon Sukan Harian Metro yang julung kali diadakan di Dewan Canselor Tun Abdul Razak Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Ahad malam.
Hamidin berjaya menewaskan empat lagi calon lain iaitu Ketua Pegawai Eksekutif Institut Sukan Negara (ISN) Ahmad Faedzal Md Ramli, Chief de Mission Sukan SEA 2021 Datuk Nur Azmi Ahmad, Presiden Persekutuan Berbasikal Kebangsaan (PKBM) Datuk Abu Samah Abd Wahab dan Ketua Pegawai Eksekutif Liga Bolasepak Malaysia (MFL) Stuart Ramalingam.
Tahniah diucapkan kepada Datuk Haji Hamidin Bin Haji Mohd Amin atas Anugerah Ikon Sukan Kepimpinan ! Semoga kepimpinan yang baik ini menjadi contoh! #AISHM #TV9Malaysia pic.twitter.com/Ml04ErpKzN
— TV9 Malaysia (@tv9malaysia) January 8, 2023
“Saya rasakan ikon ini perlukan pengorbanan jadi saya mengajak mana-mana anak muda yang berminat untuk menjadi pemimpin dalam persatuan sukan boleh datang secara percuma ke FAM untuk saya mengajar dan berkongsi pengalaman saya,” katanya.
Sejak memegang tampuk kepimpinan FAM, banyak peningkatan dapat dilihat kepada skuad Harimau Malaya yang berjaya layak ke Piala Asia 2023 secara merit selepas 42 tahun.
Selain Datuk Hamidin, arena bola sepak tempatan turut memenangi anugerah Ikon Sukan Persatuan/Kelab yang dimenangi oleh kelab Johor Darul Ta’zim (JDT).