PENGUMUMAN rasmi tiga pelumba berbasikal trek negara layak ke Sukan Olimpik Paris 2024, membolehkan Datuk Azizulhasni Awang mencipta satu lagi legasi untuk di atasi, apabila menyamai pencapaian Datuk Leong Mun Yee dari sukan terjun, iaitu lima kali beraksi di temasya sukan terbesar dunia itu.

Kejayaan beraksi di Paris bermakna, jaguh berbasikal trek negara itu meninggalkan jaguh badminton, Datuk Lee Chong Wei yang sebelum ini, bersama-samanya beraksi di empat temasya.

Awal pagi Selasa, Timbalan Presiden Persekutuan Berbasikal Kebangsaan, Datuk Amarjit Singh Gill mengesahkan Azizulhasni bersama dua lagi pelumba berbasikal trek, Muhammad Shah Firdaus Sahrom dan Nurul Izzah Izzati Mohd Asri secara rasmi layak ke Olimpik Paris 2024 pemberitahuan rasmi daripada Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI).

Datuk Azizulhasni Awang mempamerkan prestasi luar biasa sejak pulih dari pembedahan jantung.

Ketiga-tiga pelumba itu layak untuk beraksi dalam acara keirin dan pecut individu di Paris.

Azizulhasni sebelum ini berkongsi rekod dengan Chong Wei apabila masing-masing empat kali layak beraksi di temasya terbesar dunia itu.

Dia mula membuat penampilan di Sukan Olimpik adalah pada edisi 2008 di Beijing diikuti London 2012, Rio de Janeiro 2016, Tokyo 2020 dan kini Paris manakala Chong Wei pula beraksi di Athens 2004, Beijing 2008, London 2012 dan Rio de Janeiro 2016.

Gelaran demi gelaran diraih Datuk Azizulhasni Awang di pentas antarabangsa, mungkinkah kali ini, dia bakal menjadi penyumbang pingat emas Sukan Olimpik pertama negara.

Pencapaian Azizulhasni layak ke Olimpik buat kali kelima menyaksikan dia menyamai rekod bekas penerjun wanita negara, Mun Yee yang lima kali membuat penampilan di temasya terbesar dunia itu bermula di Sydney 2000, Athens 2004, Beijing 2008, London 2012 dan Tokyo 2020.

Azizulhasni yang diberi julukan The Pocket Rocketman menerusi perkongsiannya di Facebook berkata, pencapaian layak buat kali kelima berturut-turut di temasya terbesar dunia itu adalah satu sejarah besar dalam kerjayanya.

Datuk Lee Chong Wei beraksi di empat Temasya Olimpik dan menyumbang tiga pingat perak.

“Kelayakan kali kelima ini adalah satu sejarah besar buat legasi saya kerana saya adalah atlet lelaki Malaysia pertama yang mencapai pencapaian berkenaan.

“Sukan lumba basikal adalah antara sukan yang proses kelayakannya amat sukar dan rumit. Tambahan pula dengan pelbagai cabaran luaran yang terpaksa diharungi sepanjang proses itu.

“Setiap kitaran Sukan Olimpik itu mengambil masa selama empat tahun. Bermaksud, pembabitan saya di temasya Sukan Olimpik ini sahaja sudah menelan tempoh 20 tahun,” kata Azizulhasni menerusi hantaran di Facebook miliknya, hari ini.

Datuk Leong Mun Yee melakar sejarah menjadi atlet negara pertama beraksi di lima Temasya Olimpik dan penampilan terakhirnya di Tokyo 2020.

Menurut Azizulhasni, meskipun usianya sudah mencecah 36 tahun ia tidak pernah sesekali melunturkan semangatnya untuk meneruskan usaha bagi memburu pingat emas pertama buat kontinjen negara di pentas Olimpik.

“Penampilan di temasya kali ini juga amat menarik kerana saya sudah mencecah usia 36 tahun. Usia yang mana rata-rata dari kita percaya yang ianya sudah lewat dan prestasi seseorang atlet itu mulai melantai.

“Apa yang saya tonjolkan kepada mereka yang celik di sini adalah bukan sesuatu yang mustahil untuk kita mendustai normal.

“Saya percaya umum tahu yang keberadaan saya di arena sukan negara bukanlah hanya untuk layak semata-mata ke temasya berkenaan.

“Dari penampilan pertama saya di Beijing 2008 lagi, objektif saya adalah tertumpu jauh lebih daripada itu. Ianya tidak pernah luntur dan saya sentiasa bekerja keras demi merealisasikan untuk negara tercinta.

“Kini, kita berada di fasa yang terakhir dan saya menyeru kepada seluruh rakyat Malaysia agar dapat memberikan sepenuh sokongan dan mendoakan kejayaan saya serta rakan-rakan atlet lain yang akan berjuang di Sukan Olimpik Paris 2024 nanti,” katanya yang memenangi gangsa acara keirin di Rio de Jeneiro sebelum menyumbang perak dalam acara sama di Tokyo.

Sukan Olimpik Paris dijadual berlangsung dari 26 Julai hingga 11 Ogos depan.