SATU lagi pemangkin semangat buat jaguh berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang menjelang Sukan Olimpik Paris 2024, apabila dikurnia pingat Darjah Kebesaran Datuk Paduka Mahkota Terengganu (D.P.M.T).
Darjah kebesaran yang membawa gelaran Datuk itu diterimanya dalam satu majlis sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin ke-62 yang berlangsung di Istana Syarqiyyah, pada Ahad.
“Merafak sembah dan menjunjung kasih Ke bawah Duli Yang Maha Mulia Al-Wathiqu Billah Sultan Mizan Zainal Abidin Ibni Almarhum Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah Sultan Negeri Terengganu Darul Iman d iatas pengurniaan pingat Darjah Kebesaran Dato’ Paduka Mahkota Terengganu (D.P.M.T) sempena Sambutan Ulang Tahun Ke-62 Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku.
“Pengurniaan ini akan patik jadikan sebagai tiupan semangat buat diri patik untuk berjuang di Sukan Olimpik Paris 2024 tidak lama lagi. Patik sungguh terharu di atas pengurniaan ini dan berasa sungguh bertuah menjadi anak jati negeri Terengganu Darul Iman.
“Patik sekalian juga mendoakan agar KDYMM Tuanku Sultan dan KDYMM Sultanah Terengganu sentiasa di bawah lindungan Allah SWT dan terus kekal bersemayam di atas singgahsana dengan penuh kebesaran, kemuliaan dan kedaulatan. Daulat Tuanku!,” tulis Azizulhasni dalam hantarannya di laman media sosialnya hari ini.
Sebelum ini, Azizulhasni diumum sebagai penerima darjah kebesaran dalam persiapan memburu kilauan pingat emas sulung negara di Tokyo 2020, pada Julai 2021, namun hanya berkesempatan menerima kurniaan itu, tahun ini.
Di Tokyo 2020, Azizulhasni memperoleh pingat perak dalam acara keirin selepas tewas di tangan pelumba Great Britain, Jason Kenny.
Untuk rekod, penampilan Azizulhasni yang dikenali dengan julukan ‘The Pocket Rocketman’ di Paris nanti adalah yang kelima buat dirinya.
Sejak membuat penampilan sulung di pentas Olimpik di London 2012, Azizulhasni sudah memperoleh dua pingat iaitu perak di Tokyo 2020 dan gangsa di Rio 2016.